Semaklah Darjat Hadis di Sini



بحث عن:

Jumaat, 19 Februari 2010

Perarakan Maulidur Rasul dan Peperiksaan Akhir

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...
Walaupun dalam kesibukan menghadapi peperiksaan akhir saya masih lagi sempat untuk menulis sedikit sebanyak mengenai isu islam dan semasa.Agak keletihan juga untuk saya menulis dan dalam masa yang sama untuk meneruskan pembelajaran,namun disebabkan sudah sebati dan yakin serta percaya bahawa penulisan yang saya sumbangkan ini akan mendapat pahala,maka saya tetap teruskan juga niat saya untuk menulis dan terus menulis.

Dalam kesibukan mengulangkaji dan menghadapi peperiksaan akhir semester,telah kedengaran suara-suara mengenai isu kerajaan Pulau Pinang tidak akan menganjurkan perarakan sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini.Isu ini jika dilihat secara kasar memang menyentuh sensitiviti umat Islam di Malaysia yang saban tahun mengamalkan tradisi ini untuk melahirkan rasa cinta kepada Rasullullah S.A.W.

Cuma jika dikaji dengan teliti dan perhalusi dari sudut dalaman,rupa-rupanya perarakan Maulidur Rasul bukanlah sesuatu yang wajib ke atas semua umat Islam,kerana penghayatan kepada Sunnah baginda itu lebih utama,dan apabila terdengar khutbah yang disampaikan oleh khatib di Masjid Al-Azhar jumaat tadi.

"Ketika kelahiran Nabi Muhammad,Abu Jahal merupakan orang yang paling gembira kerana kelahiran Rasulullah dan sanggup membebaskan hambanya dan menyembelih 100 ekor unta untuk meraikan peristiwa tersebut"

"Namun setelah Rasulullah mengisytiharkan dirinya sebagai Rasul dan memulakan ekspedisi dakwah secara terbuka,Abu Jahal sendiri yang kuat menentang baginda S.A.W".

Ada benarnya juga apa yang diseru oleh khatib pada hari ini,buat apa kita semua berarak di sekitar ibu kota dengan jarak yang jauh dan berpakaian kemas serta baru dengan membawa sepanduk dan kain rentang seperti memuji kepimpinan Nabi Muhammad tetapi tidak mengamalkan sunnah bahkan menolak hukum-hukum Allah yang terkandung di dalam Al-Quran yang telah dilaksanakan oleh baginda sendiri ketika baginda menjadi Perdana Menteri di negara Islam Madinah.

Lebih teruk lagi jika kepimpinan negara yang menganjurkan Sambutan Maulidur Rasul tetapi mengamalkan rasuah yang terbukti menyalahi syariah.

Apa gunanya jika kita hanya menjunjung syiar Islam tetapi tidak menegakkan syariat Islam dan menyelamatkan golongan yang berada dalam keadaan kritikal khususnya mengenai isu murtad dan juga pembuangan bayi.

Adalah lebih baik jika pihak yang bertanggungjawab lebih banyak melahirkan program yang berbentuk penyampaian syariah Islamiah kepada golongan muda yang hidup di pasar raya dan "pusat lepak" dengan penyampaian yang lebih segar dan "sporting" kepada golongan remaja,setidak tidaknya ada usaha untuk mentamadunkan Islam golongan seperti ini.

baiklah,saya rasa itu sahaja ulasan saya mengenai isu ini,diharapkan agar pembaca sekalian dapat melakukan timbang tara kebaikan dan keburukan mengenai isu ini

Sekian,Wallahu a'lam

Jumaat, 12 Februari 2010

14 Februari?

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...
Sudah lama rasanya saya tidak menyentuh papan kekunci laptop saya untuk mencoretkan tinta fikrah di dalam blog ini,bila dilihat balik pada artikel terakhir yang saya masukkan,rupanya sudah hampir 2 minggu saya tidak mempunyai artikel untuk dimasukkan ke dalam blog ini.

Allahu Akbar,rasa seperti sedar tidak sedar,hampir-hampir saya lupa untuk meneruskan kesinambungan penulisan ini.Namun alhamdulillah sempat juga saya teringat untuk meneruskan penulisan ini.

Peperiksaan akhir semakin hampir tiba,semua perkara wajib seperti tugasan dan laporan kokurikulum sudah dihantar awal-awal lagi.Walaupun kini adalah waktunya untuk belajar pada saat-saat akhir sebelum menghadapi peperiksaan akhir pada 18 Februari sehingga 6 Mac,namun kelapangan yang ada boleh diaplikasikan untuk penulisan ini.
Bila saya lihat kalendar 2010 yang berdansa ketika ditiup angin dari jendela bilik,menunjukkan hari ini adalah 13 Februari 2010

"Esoklah harinya yang membuatkan orang ramai tidak senang duduk",sudahlah kini kolej sedang bercuti untuk perayaan tahun baru cina bermula 12 sehingga 16 Februari,kini saya bersendirian belajar untuk menghadapi peperiksaan terakhir.Rupanya ada yang sanggup balik sebelum tarikh 14 Februari kerana ada sesuatu.

Ya,itulah agenda mereka tidak lain tidak bukan adalah Valentine's Day.Bahkan ada juga yang tidak balik kampung tetapi mahu keluar ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan "gegula hatinya".Saya pun tidak faham kenapa manusia masih lagi mengagungkan amalan golongan kuffar mengenai hari yang kononnya "hari berkasih sayang".

Bukannya agama Islam melarang untuk berkasih sayang,tetapi adakah perayaan yang kita sambut itu adalah perayaan berbentuk kebudayaan ataupun berbentuk keagamaan?

Jikalau perayaan tersebut adalah perayaan kebudayaan seperti Tahun Baru Cina,mungkin kita boleh menyambutnya kerana berbentuk perayaan kebudayaan Cina.Kita boleh memakai pakaian tradisi Cina tetapi tidak dibenarkan untuk menyembah berhala dan mengamalkan perkara khurafat serta mengundang dosa.Kerana itulah wujudnya golongan Cina Muslim yang menyambut tahun baru Cina tanpa membabitkan pengamalan ritual.

Namun bagaimana pula dengan Valentine's Day?Baca artikel di bawah

Sambutan Hari Kekasih Salah Di Sisi Islam

Oleh Mohd Hariri Bin Haji Mohamad Daud, (Panel Penulis Luar Jakim), Majalah Cahaya keluaran Februari 2009.

Tarikh 14 Februari setiap tahun menjadi tarikh yang ditunggu-tunggu oleh pasangan bercinta sebagai hari untuk memperingati dan meluahkan cinta sejati kononnya kepada pasangan masing-masing. Amalan songsang seperti ini sudah menjadi taqwim tahunan remaja dan semestinya penganut agama Kristian. Lantas, remaja Islam di Malaysia diseru agar tidak terpengaruh dan meraikan sambutan Hari Kekasih (Valentine Day) yang disambut pada 14 Februari ini. Sudah jelas bahawa sambutan Hari Kekasih ini salah di sisi agama Islam dan bercanggah dengan aqidah Islam itu sendiri.

Perbuatan untuk meraikan sambutan Hari Kekasih amat bercanggah dengan syara’ kerana ianya mempunyai unsur kepercayaan agama kristian dan menjurus kepada kebobrokkan akhlak. Selain itu, sambutan yang tidak berfaedah ini dirai dengan penuh adegan maksiat seperti berdua-duaan, berpeleseran hatta membawa kepada perbuatan seks bebas. Hari yang dianggap “hari berbulan madu” bagi remaja sehingga mereka sanggup menggadaikan maruah demi membuktikan cinta mereka kepada kekasih masing-masing. Sesungguhnya budaya meniru budaya barat yang terpesong dan mencampurkan perkara aqidah mengikut kepercayaan agama lain adalah salah di sisi Islam.

Dalam erti lain umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan peribadatan agama Islam dengan akidah dan peribadatan agama lain. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud “Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (Surah Al-Kafirun ayat 1-6 )

Nabi SAW dengan tegas telah melarang kita daripada meniru budaya Yahudi dan Nasrani dalam hadis yang bermaksud, “Nescaya kamu akan turut jejak langkah mereka (Yahudi dan Nasrani ) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga kamu akan turuti mereka walaupun mereka masuk ke dalam lubang biawak. Lantaran sahabat bertanya: Adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab: Siapa lagi kalau bukan mereka.”

Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah menyatakan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 1/2006 pada 21 Februari 2006 telah memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam”.

Para mufti di Malaysia juga telah bersepakat untuk memutuskan bahawa amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam seperti yang dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 yang lalu.

Melalui sejarah Valentine, jelas ianya dapat disabitkan dengan budaya Kristian yang menyatakan Valentine’s Day bermula dari kematian tragis seorang Paderi yang bernama St. Valentine yang dibunuh oleh seorang Raja Romawi yang bernama Raja Claudius pada II (268-270M ).

Bermula dari kisah ini mereka telah mengabdikan St. Valentine sebagai seorang tokoh yang hebat dalam mempertahankan cinta dan dianggap sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup. Maka, 14 Februari dijadikan sebagai hari perlambangan dalam memperingati kematian St.Valentine dan dianggap sebagai upacara keagamaan masyarakat Kristian.

Justeru, Islam menyeru seluruh umat Islam khususnya remaja-remaja Islam agar tidak meraikan sambutan Hari Kekasih dan menghindari perkara-perkara yang boleh membawa kepada sikap untuk meraikannya. Berikut adalah sikap-sikap yang perlu dihindari oleh remaja Islam pada Hari Kekasih :

1- Sikap untuk keluar berfoya-foya sesama kekasih dan mengadakan majlis untuk menyambut hari tersebut dengan mengadakan parti atau majlis seumpamanya.

2- Menghantar kad-kad ucapan yang tertera kata-kata Valentine Day dan pada kad-kad tersebut terdapat gambar pari-pari yang mempunyai dua sayap yang menjadi simbol kepercayaan agama kristian.

3- Menulis ucapan kata-kata cinta di dalam kad yang diutuskan dengan menyatakan keinginan cinta kepada kekasih kerana ianya juga sikap mempamerkan rasa gembira dan percaya akan hari tersebut.

4- Kebanyakan negara-negara Barat, parti-parti diadakan sempena hari tersebut disambut dengan pesta seks dan tari-menari. Kebanyakan mereka menghantar hadiah-hadiah seperti bunga ros dan sekotak coklat kepada sesiapa yang mereka cintai.

5- Menghantar pesanan ringkas (SMS) kepada kekasih untuk meluahkan rasa sayang bersempena dengan Hari memperingati kekasih (Valentine Day) sebagai tanda percaya akan “keajaiban” hari tersebut.

Namun, segelintir pihak sanggup menaja majlis sambutan Hari Kekasih dan menjual barang-barang cenderahati untuk mempengaruhi remaja memperingati hari tersebut sehingga mengheret ke lembah makisat. Ironinya, remaja menganggap sambutan ini sebagai simbol kecintaan dan kasih sayang yang tidak berbelah bagi kepada pasangan. Islam melarang umatnya berlebih-lebihan dalam bercinta sehinggakan sanggup menyerahkan maruah kepada pasangan yang dicintainya.

Sesungguhnya perbuatan ini juga bercanggah dengan syara’ kerana ianya juga menyumbang berlakunya perkara maksiat dan zina. Firman-Nya:Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang membawa kepada kerosakan.” 9Surah Al-Isra’ ;32)

Ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting untuk mengawasi anak-anak mereka agar tidak meraikan hari tersebut dan melalukan perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat. Selain itu, pihak pentadbiran sekolah dan institusi pengajian tinggi juga agar lebih proaktif untuk memastikan tidak wujud program sambutan kepada hari tersebut serta aktiviti bertukar-tukar bunga ros, kad-kad ucapan dan sebagainya.

Secara kesimpulannya, Islam memberi garis panduan yang jelas dan membenarkan hubungan kasih sayang sesama manusia dalam kerangka syariat. Hubungan kasih sayang kepada ibu bapa, sahabat dan sesama masyarakat boleh dilakukan setiap hari dan tujuh golongan manusia yang akan mendapat lindungan `Arasy ialah salah satunya mereka yang berkasih sayang ( bertemu dan berpisah ) kerana Allah SWT.

Firman Allah SWT : 'Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja) dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal.' Surah al-Ghaafir: 39

Walaupun nampak seperti tidak ada apa-apa,namun sambutan tersebut adalah telah difatwakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan seperti yang dinyatakan di atas.

Menurut sejarah pula, perkataan Valentine diambil sempena nama seorang paderi besar Kristian pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu Saint Valentine. Jasa beliau yang telah berjaya menumpaskan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol pada 14 Februari 270 Masihi begitu bermakna bagi Ratu Isabella sehingga dianggap sebagai kekasih rakyatnya sendiri. Justeru itu, 14 Februari disambut setiap tahun oleh rakyat Cordova atas kehendak Ratu Isabella bagi merayakan kemenangan tersebut dengan dinamakan hari Valentine's Day.

Dengan maksud lain,apabila kita meraikan Valentine's Day,kita juga meraikan hari keruntuhan kerajaan Islam dan meraikan golongan yang menghancurkan Islam serta boleh membawa kepada murtad.

Jadi,dimanakah kita?Mahu dilabelkan sebagai konservatif oleh orang lain asalkan akidah terpelihara ataupun kita mahu menjadi penyokong kepada golongan kuffar?

Terpulanglah kepada anda untuk menilainya dengan penggunaan akal dan wahyu.Anda bolehlah merujuk kepada mana-mana pakar agama sebagai pembimbing anda.