Semaklah Darjat Hadis di Sini



بحث عن:

Sabtu, 3 April 2010

Nie-Zarm di Beijing?






Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...
Tengok tajuk dah keliru dan pelik? Sempena cuti semester yang sedang berlangsung, saya sempat ke Beijing untuk sementara waktu kerana saya sendiri akan menghadapi Malaysian Universiti Exam Test (MUET) dan ada sedikit lebihan duit, saya mengembara di Beijing sebagai destinasi pilihan.

Mungkin kalau semua pembaca tengok page ni, semua tidak percaya, tetapi ada lagi gambar saya sendiri di Beijing.

lagi satu gambar penutup...


sebenarnya ini adalah retorik semata-mata...
gambar ini ana ambil di Masjid Beijing, bukan di Beijing tetapi di Rantau Panjang, Kelantan...
buat pengunjung yang suka melancong dengan pelancongan sambil ibadah, anda bolehlah ke Masjid Beijing di Rantau Panjang, Kelantan. Anda akan merasakan seperti berada di Beijing, China

p/s:sebelum naik masjid baca ini
(نويت الأعتكاف في هذا ألمسجد لله تعالى)
"Sahaja aku niat iktikaf di dalam Masjid Lilahi Taala"

Sabtu, 27 Mac 2010

Betapa sukarnya mencapai puncak...



Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Kali ini saya ingin berbicara mengenai kejayaan seseorang yang ingin dicapai. Apa sahaja bidang yang ingin anda capai, anda perlu mempunyai satu sahaja perkataan yang di'set' di dalam minda anda, iaitu perkataan kesungguhan.

Kenapa saya berkata sedemikian? Kerana saya percaya jika seseorang mempunyai kesungguhan di dalam pekerjaannya, ia akan melahirkan lebih banyak lagi pokok-pokok daripada kesungguhan untuk mencapai kejayaan. Apabila seseorang mempunyai kesungguhan sebagai benih, dirinya akan menanamkan benih kesungguhan di dalam mindanya dan akan menyiramnya, menyemainya dan menjaganya tanpa dipaksa dan akan lahir dalam dirinya keikhlasan. Keikhlasan ini adalah sesuatu yang sangat susah untuk dilahirkan di dalam jiwa manusia, kerana untuk mendidik nafsu manusia untuk melahirkan keikhlasan adalah sukar. Ikhlas dikatakan susah kerana keikhlasan ibarat seekor semut hitam, berjalan di atas batu hitam dan pada waktu malam gelap gelita.

Tengok, betapa sukarnya keikhlasan dapat diimplimentasikan di dalam kehidupan. Namun jika ianya wujud di dalam diri anda, sudah pasti ianya akan menjadikan segala perbuatan anda mendapat pahala dan berkat dari Allah S.W.T. Kembali kepada sukarnya mencapai puncak.

Setelah kesungguhan dan keikhlasan sudah timbul di dalam hati, maka tidak hairanlah diri seseorang dapat menghindari dirinya daripada kegala yang mungkar dan melakukan perkara yang makruf serta menjadikan solatnya solat yang berkualiti.

انّ الصلاة تنهى عن الفحشاء والمنكر
"sesungguhnya solat dapat mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar"

Setelah itulah kita dapat menentukan sama ada kita ingin mencapai puncak yang disokong dengan kesungguhan dan keikhlasan dengan mudah. Walaupun kita mempunyai jalan dan diberikan sebarang peralatan yang secukupnya tetapi tidak mempunyai kesungguhan, seperti kita ada senjata yang canggih tetapi tidak pandai menggunakan untuk membunuh musuh.

Akhirul Kalam, walaupun anda merasakan bahawa sukar untuk mendaki dan mencapai puncak, teapi jika ada kesungguhan dan keikhlasan, ianya sudah cukup untuk memacu anda ke arah kejayaan. 'Ala kulli hal, cuba sehingga akhir puncak, walaupun pahit pada awalnya, namun akan menjadi manis apabila kita mencapai kejayaan.

Ilal Liqa.

Khamis, 18 Mac 2010

Maafkan Teman...


Assalamualaikum dalam salam sejahtera...
maafkan ana sebab sudah lama tidak mengemaskini blog ini...
ana sedang bercuti selama sebulan dan rumah ana sendiri pun tidak mempunyai akses internet,maka disebabkan itu ana terpaksa pergi ke kafe siber mahupun menggalas komputer riba ke kedai makan yang mempunyai wifi hotspot untuk mengakses internet...
cuma ana harap semua yang melayari laman ini supaya terus membaca artikel yang ada kerana ianya masih algi relevan untuk dibaca.isu yang ditampilkan adalah Islam,sudah pasti Islam itu sendiri akan kekal sampai akhir zaman.
semoga kita semua dirahmatinya...
Amin




Gambar penulis ketika menjadi fasilitator untuk kem kepimpinan SMU(A)Sullamiah di Bukit Bakar,Machang Kelantan.Ketika ini sedang jungle tracking..

Jumaat, 19 Februari 2010

Perarakan Maulidur Rasul dan Peperiksaan Akhir

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...
Walaupun dalam kesibukan menghadapi peperiksaan akhir saya masih lagi sempat untuk menulis sedikit sebanyak mengenai isu islam dan semasa.Agak keletihan juga untuk saya menulis dan dalam masa yang sama untuk meneruskan pembelajaran,namun disebabkan sudah sebati dan yakin serta percaya bahawa penulisan yang saya sumbangkan ini akan mendapat pahala,maka saya tetap teruskan juga niat saya untuk menulis dan terus menulis.

Dalam kesibukan mengulangkaji dan menghadapi peperiksaan akhir semester,telah kedengaran suara-suara mengenai isu kerajaan Pulau Pinang tidak akan menganjurkan perarakan sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini.Isu ini jika dilihat secara kasar memang menyentuh sensitiviti umat Islam di Malaysia yang saban tahun mengamalkan tradisi ini untuk melahirkan rasa cinta kepada Rasullullah S.A.W.

Cuma jika dikaji dengan teliti dan perhalusi dari sudut dalaman,rupa-rupanya perarakan Maulidur Rasul bukanlah sesuatu yang wajib ke atas semua umat Islam,kerana penghayatan kepada Sunnah baginda itu lebih utama,dan apabila terdengar khutbah yang disampaikan oleh khatib di Masjid Al-Azhar jumaat tadi.

"Ketika kelahiran Nabi Muhammad,Abu Jahal merupakan orang yang paling gembira kerana kelahiran Rasulullah dan sanggup membebaskan hambanya dan menyembelih 100 ekor unta untuk meraikan peristiwa tersebut"

"Namun setelah Rasulullah mengisytiharkan dirinya sebagai Rasul dan memulakan ekspedisi dakwah secara terbuka,Abu Jahal sendiri yang kuat menentang baginda S.A.W".

Ada benarnya juga apa yang diseru oleh khatib pada hari ini,buat apa kita semua berarak di sekitar ibu kota dengan jarak yang jauh dan berpakaian kemas serta baru dengan membawa sepanduk dan kain rentang seperti memuji kepimpinan Nabi Muhammad tetapi tidak mengamalkan sunnah bahkan menolak hukum-hukum Allah yang terkandung di dalam Al-Quran yang telah dilaksanakan oleh baginda sendiri ketika baginda menjadi Perdana Menteri di negara Islam Madinah.

Lebih teruk lagi jika kepimpinan negara yang menganjurkan Sambutan Maulidur Rasul tetapi mengamalkan rasuah yang terbukti menyalahi syariah.

Apa gunanya jika kita hanya menjunjung syiar Islam tetapi tidak menegakkan syariat Islam dan menyelamatkan golongan yang berada dalam keadaan kritikal khususnya mengenai isu murtad dan juga pembuangan bayi.

Adalah lebih baik jika pihak yang bertanggungjawab lebih banyak melahirkan program yang berbentuk penyampaian syariah Islamiah kepada golongan muda yang hidup di pasar raya dan "pusat lepak" dengan penyampaian yang lebih segar dan "sporting" kepada golongan remaja,setidak tidaknya ada usaha untuk mentamadunkan Islam golongan seperti ini.

baiklah,saya rasa itu sahaja ulasan saya mengenai isu ini,diharapkan agar pembaca sekalian dapat melakukan timbang tara kebaikan dan keburukan mengenai isu ini

Sekian,Wallahu a'lam

Jumaat, 12 Februari 2010

14 Februari?

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...
Sudah lama rasanya saya tidak menyentuh papan kekunci laptop saya untuk mencoretkan tinta fikrah di dalam blog ini,bila dilihat balik pada artikel terakhir yang saya masukkan,rupanya sudah hampir 2 minggu saya tidak mempunyai artikel untuk dimasukkan ke dalam blog ini.

Allahu Akbar,rasa seperti sedar tidak sedar,hampir-hampir saya lupa untuk meneruskan kesinambungan penulisan ini.Namun alhamdulillah sempat juga saya teringat untuk meneruskan penulisan ini.

Peperiksaan akhir semakin hampir tiba,semua perkara wajib seperti tugasan dan laporan kokurikulum sudah dihantar awal-awal lagi.Walaupun kini adalah waktunya untuk belajar pada saat-saat akhir sebelum menghadapi peperiksaan akhir pada 18 Februari sehingga 6 Mac,namun kelapangan yang ada boleh diaplikasikan untuk penulisan ini.
Bila saya lihat kalendar 2010 yang berdansa ketika ditiup angin dari jendela bilik,menunjukkan hari ini adalah 13 Februari 2010

"Esoklah harinya yang membuatkan orang ramai tidak senang duduk",sudahlah kini kolej sedang bercuti untuk perayaan tahun baru cina bermula 12 sehingga 16 Februari,kini saya bersendirian belajar untuk menghadapi peperiksaan terakhir.Rupanya ada yang sanggup balik sebelum tarikh 14 Februari kerana ada sesuatu.

Ya,itulah agenda mereka tidak lain tidak bukan adalah Valentine's Day.Bahkan ada juga yang tidak balik kampung tetapi mahu keluar ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan "gegula hatinya".Saya pun tidak faham kenapa manusia masih lagi mengagungkan amalan golongan kuffar mengenai hari yang kononnya "hari berkasih sayang".

Bukannya agama Islam melarang untuk berkasih sayang,tetapi adakah perayaan yang kita sambut itu adalah perayaan berbentuk kebudayaan ataupun berbentuk keagamaan?

Jikalau perayaan tersebut adalah perayaan kebudayaan seperti Tahun Baru Cina,mungkin kita boleh menyambutnya kerana berbentuk perayaan kebudayaan Cina.Kita boleh memakai pakaian tradisi Cina tetapi tidak dibenarkan untuk menyembah berhala dan mengamalkan perkara khurafat serta mengundang dosa.Kerana itulah wujudnya golongan Cina Muslim yang menyambut tahun baru Cina tanpa membabitkan pengamalan ritual.

Namun bagaimana pula dengan Valentine's Day?Baca artikel di bawah

Sambutan Hari Kekasih Salah Di Sisi Islam

Oleh Mohd Hariri Bin Haji Mohamad Daud, (Panel Penulis Luar Jakim), Majalah Cahaya keluaran Februari 2009.

Tarikh 14 Februari setiap tahun menjadi tarikh yang ditunggu-tunggu oleh pasangan bercinta sebagai hari untuk memperingati dan meluahkan cinta sejati kononnya kepada pasangan masing-masing. Amalan songsang seperti ini sudah menjadi taqwim tahunan remaja dan semestinya penganut agama Kristian. Lantas, remaja Islam di Malaysia diseru agar tidak terpengaruh dan meraikan sambutan Hari Kekasih (Valentine Day) yang disambut pada 14 Februari ini. Sudah jelas bahawa sambutan Hari Kekasih ini salah di sisi agama Islam dan bercanggah dengan aqidah Islam itu sendiri.

Perbuatan untuk meraikan sambutan Hari Kekasih amat bercanggah dengan syara’ kerana ianya mempunyai unsur kepercayaan agama kristian dan menjurus kepada kebobrokkan akhlak. Selain itu, sambutan yang tidak berfaedah ini dirai dengan penuh adegan maksiat seperti berdua-duaan, berpeleseran hatta membawa kepada perbuatan seks bebas. Hari yang dianggap “hari berbulan madu” bagi remaja sehingga mereka sanggup menggadaikan maruah demi membuktikan cinta mereka kepada kekasih masing-masing. Sesungguhnya budaya meniru budaya barat yang terpesong dan mencampurkan perkara aqidah mengikut kepercayaan agama lain adalah salah di sisi Islam.

Dalam erti lain umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan peribadatan agama Islam dengan akidah dan peribadatan agama lain. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud “Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (Surah Al-Kafirun ayat 1-6 )

Nabi SAW dengan tegas telah melarang kita daripada meniru budaya Yahudi dan Nasrani dalam hadis yang bermaksud, “Nescaya kamu akan turut jejak langkah mereka (Yahudi dan Nasrani ) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga kamu akan turuti mereka walaupun mereka masuk ke dalam lubang biawak. Lantaran sahabat bertanya: Adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Baginda menjawab: Siapa lagi kalau bukan mereka.”

Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah menyatakan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 1/2006 pada 21 Februari 2006 telah memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam”.

Para mufti di Malaysia juga telah bersepakat untuk memutuskan bahawa amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam seperti yang dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 yang lalu.

Melalui sejarah Valentine, jelas ianya dapat disabitkan dengan budaya Kristian yang menyatakan Valentine’s Day bermula dari kematian tragis seorang Paderi yang bernama St. Valentine yang dibunuh oleh seorang Raja Romawi yang bernama Raja Claudius pada II (268-270M ).

Bermula dari kisah ini mereka telah mengabdikan St. Valentine sebagai seorang tokoh yang hebat dalam mempertahankan cinta dan dianggap sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup. Maka, 14 Februari dijadikan sebagai hari perlambangan dalam memperingati kematian St.Valentine dan dianggap sebagai upacara keagamaan masyarakat Kristian.

Justeru, Islam menyeru seluruh umat Islam khususnya remaja-remaja Islam agar tidak meraikan sambutan Hari Kekasih dan menghindari perkara-perkara yang boleh membawa kepada sikap untuk meraikannya. Berikut adalah sikap-sikap yang perlu dihindari oleh remaja Islam pada Hari Kekasih :

1- Sikap untuk keluar berfoya-foya sesama kekasih dan mengadakan majlis untuk menyambut hari tersebut dengan mengadakan parti atau majlis seumpamanya.

2- Menghantar kad-kad ucapan yang tertera kata-kata Valentine Day dan pada kad-kad tersebut terdapat gambar pari-pari yang mempunyai dua sayap yang menjadi simbol kepercayaan agama kristian.

3- Menulis ucapan kata-kata cinta di dalam kad yang diutuskan dengan menyatakan keinginan cinta kepada kekasih kerana ianya juga sikap mempamerkan rasa gembira dan percaya akan hari tersebut.

4- Kebanyakan negara-negara Barat, parti-parti diadakan sempena hari tersebut disambut dengan pesta seks dan tari-menari. Kebanyakan mereka menghantar hadiah-hadiah seperti bunga ros dan sekotak coklat kepada sesiapa yang mereka cintai.

5- Menghantar pesanan ringkas (SMS) kepada kekasih untuk meluahkan rasa sayang bersempena dengan Hari memperingati kekasih (Valentine Day) sebagai tanda percaya akan “keajaiban” hari tersebut.

Namun, segelintir pihak sanggup menaja majlis sambutan Hari Kekasih dan menjual barang-barang cenderahati untuk mempengaruhi remaja memperingati hari tersebut sehingga mengheret ke lembah makisat. Ironinya, remaja menganggap sambutan ini sebagai simbol kecintaan dan kasih sayang yang tidak berbelah bagi kepada pasangan. Islam melarang umatnya berlebih-lebihan dalam bercinta sehinggakan sanggup menyerahkan maruah kepada pasangan yang dicintainya.

Sesungguhnya perbuatan ini juga bercanggah dengan syara’ kerana ianya juga menyumbang berlakunya perkara maksiat dan zina. Firman-Nya:Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang membawa kepada kerosakan.” 9Surah Al-Isra’ ;32)

Ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting untuk mengawasi anak-anak mereka agar tidak meraikan hari tersebut dan melalukan perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat. Selain itu, pihak pentadbiran sekolah dan institusi pengajian tinggi juga agar lebih proaktif untuk memastikan tidak wujud program sambutan kepada hari tersebut serta aktiviti bertukar-tukar bunga ros, kad-kad ucapan dan sebagainya.

Secara kesimpulannya, Islam memberi garis panduan yang jelas dan membenarkan hubungan kasih sayang sesama manusia dalam kerangka syariat. Hubungan kasih sayang kepada ibu bapa, sahabat dan sesama masyarakat boleh dilakukan setiap hari dan tujuh golongan manusia yang akan mendapat lindungan `Arasy ialah salah satunya mereka yang berkasih sayang ( bertemu dan berpisah ) kerana Allah SWT.

Firman Allah SWT : 'Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja) dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal.' Surah al-Ghaafir: 39

Walaupun nampak seperti tidak ada apa-apa,namun sambutan tersebut adalah telah difatwakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan seperti yang dinyatakan di atas.

Menurut sejarah pula, perkataan Valentine diambil sempena nama seorang paderi besar Kristian pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu Saint Valentine. Jasa beliau yang telah berjaya menumpaskan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol pada 14 Februari 270 Masihi begitu bermakna bagi Ratu Isabella sehingga dianggap sebagai kekasih rakyatnya sendiri. Justeru itu, 14 Februari disambut setiap tahun oleh rakyat Cordova atas kehendak Ratu Isabella bagi merayakan kemenangan tersebut dengan dinamakan hari Valentine's Day.

Dengan maksud lain,apabila kita meraikan Valentine's Day,kita juga meraikan hari keruntuhan kerajaan Islam dan meraikan golongan yang menghancurkan Islam serta boleh membawa kepada murtad.

Jadi,dimanakah kita?Mahu dilabelkan sebagai konservatif oleh orang lain asalkan akidah terpelihara ataupun kita mahu menjadi penyokong kepada golongan kuffar?

Terpulanglah kepada anda untuk menilainya dengan penggunaan akal dan wahyu.Anda bolehlah merujuk kepada mana-mana pakar agama sebagai pembimbing anda.

Ahad, 31 Januari 2010

Mencari Tuhan bila ada kesusahan.Ketika senang?

Assalamualaikum,salam perjuangan dan salam sejahtera.
Alhamdulillah,syukur saya kepada Allah kerana masih lagi dipanjangkan hayat untuk terus berjuang dengan "toriq" yang sedang dihadapi,mudah-mudahan penulis dan pembaca sekalian mendapat berkat dari Allah Azza Wa Jalla.
Saya juga bersyukur kerana peningkatan jumlah pembaca yang semakin ramai sudi menjenguk ar-risaalah.blogspot.com sebagai "halaqah moden",walaupun pengikut setia blog ini masih lagi tidak sampai 10,namun saya tetap bersyukur dan akan berusaha keras lagi untuk memastikan kelangsungan ar-risaalah dapat diteruskan dari semasa ke semasa.
Tajuk perbincangan yang penulis rancangkan pada kali ini ialah mengenai "Mencari Tuhan bila ada kesusahan.Ketika senang?".Ketika jari penulis rancak dengan kekunci komputer ribanya,penulis sedang menghadapi dilema akhir semester dan mungkin satu kampus mengalami dilema yang sama iaitu peperiksaan akhir semester.
Penulis sendiri masih belum khatam kitab-kitab subjek yang akan dihadapi pada peperiksaan akhir semester kerana kesibukan yang dihadapi sama ada secara sukarela mahupun secara paksa rela.
Namun saya melihat ramai mahasiswa mahupun mahasiswi yang jarang untuk mengenal mukanya sebagai " muka masjid",beerpusu-pusu untuk ke masjid pada saat kritikal kini.Bagi penulis ianya adalah sesuatu yang bagus dan terpuji kerana mengimarahkan masjid adalah tugas bersama,apatah lagi masjid kampus memerlukan warga kampus untuk menjaganya.

"Hanya sanya yang layak untuk memakmurkan masjid Allah ialah sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat,mendirikan solat dan menunaikan zakat serta tidak mensyirikkan Allah"
At-Taubah : 18

Namun berlaku sedikit rasa ganjil di dalam hati penulis,kenapa ramai mahasiswa dan mahasiswi datang ke masjid ketika musim peperiksaan akan bermula sedangkan ketika awal semester dahulu mereka merupakan golongan yang jauh,sangat jauh dengan masjid.Jikalau pelajar itu merupakan pelajar semester satu,itu bukan masalah dan isu,bahkan sebagai seorang mahasiswa senior,saya bertanggungjawab untuk membimbing mereka ke arah kebaikan.
Tetapi pada suatu maghrib saya terlihat wajah seorang mahasiswa yang hadir ke masjid. Apabila ditatap wajahnya berkali-kali untuk mengenal pasti,rupa-rupanya dia adalah mahasiswa yang tidak senang dengan ustaz yang melarangnya berdating di kawasan yang boleh menimbulkan syak dan wasangka orang ramai.
Apabila berbicara dengannya,beliau terasa tertekan dengan tugasan yang ditundanya pada awal semester dan mahu mencari ketenangan kerana tarikh akhir menghantar kesemua tugasan tinggal dua hari sahaja dari hari itu.Saya mengalu-alukan kehadirannya dan berpesan agar sentiasa istiqamah (berterusan) dengan cara hidup sebegini.Tetapi setelah selesai dengan tugasan dan mendapat markah tinggi,amat jarang sekali melihat wajahnya di masjid.Tidak mengapalah,mungkin dia sibuk dengan tugasannya ataupun persediaan peperiksaan akhir semester.
Setelah saya selesai solat Isyak,saya turun ke cafe untuk urusan membaiki komputer riba milik kawan satu kursus (sekarang pekerjaan ini sudah menjadi pekerjaan sampingan),saya dapati orang saya saya jumpa di masjid kerana tekanan tugasan tempoh hari berdating dengan penuh romantik di cafe.Ya Allah,inikah manusia yang dilabelkan sebagai sudah insaf?
Sejenak saya terfikir,kenapa manusia mencari Allah ketika susah sedangkan ketika mereka diberi nikmat,mereka kufur nikmat?Dimanakah keinsafan yang dinyatakan tidak sampai seminggu itu disimpan oleh individu tersebut?
Saya tidak mahu untuk menyatakan lebih daripada itu dan diharapkan kita semua termasuk penulis sendiri menjadikan kisah yang penulis coretkan ini sebagai pengajaran kepada kita. Kerana manusia yang bijak ialah manusia yang menjadikan sejarah dan cerita seperti ini sebagai tauladan dan sempadan.

nota :
penulis tidak dapat menaip ayat al-Qur'an tersebut kerana penulis baru sahaja format laptop dan tidak dapat memasukkan perisian bahasa Arab.Segala kekurangan ini adalah amat dikesali dan akan diperbaiki pada masa terdekat.

Selasa, 26 Januari 2010

Mengekang Kemaraan 'West Life.'

Mengekang Kemaraan 'West Life'
Assalamualaikum!

Ana sebenarnya tidak ada terfikir untuk menulis apa-apa makalah pada pagi ini. Namun, oleh kebejatan yang menjadi-jadi disebabkan pengaruh budaya Barat yang merebak di kalangan pelajar-pelajar Malaysia di sana, ana terpaksa.

Saudara, Barat atau timur adalah arah mata angin sahaja bagi merujuk dua bahagian muka bumi. Barat merujuk kepada Eropah, Amerika Utara, Amerika Selatan, dan lain-lain sementara timur adalah sebaliknya. Sedangkan Islam, satu agama yang dibangkitkan Allah melalui pengutusan risalah-Nya, Muhammad -Allah berselawat ke atas-Nya- bukan mewakili Barat mahupun Timur atau tengah! Islam adalah Islam.

Cumanya, banyak ideologi-ideologi 'canggih' masa kini berpunca dari Barat. Ideologi yang dicetuskan Barat merosakkan ketulenan fitrah manusia. Inilah yang ditentang oleh Islam. Satu demi satu isme dibawa kepada masyarakat dunia seperti feminisme, komunisme, liberalisme, sekularisme, hedonisme, dan lain-lain menjadikan dunia haru-biru. Memang gaya hidup hasil aplikasi isme Barat itu nampak hebat malah menyeronokkan bagaikan hidup di syurga kerana bebasnya diri melakukan apa saja. Maka ketahuilah wahai manusia, hidup ini sementara saja; kepada Alah jua tempat kembalinya!

Kebanyakan manusia terpegun dengan kehidupan Barat dan antaranya manusia Muslim. Mereka lihat cara hidup Baratlah yang menjamin kebahagian dan ketenangan hidup. Mereka sebenarnya telah dirasuk. Akal mereka telah rosak. Mereka tinggalkan cara hidup Muslim. Mereka ambil gaya hidup Brett Pit, Angelina Jolie, dan sebagainya. Mereka ingat masyarakat Barat sendiri bahagia dengan kehidupan mereka. Mereka tidak kaji berapa ramaikan orang Amerika dan Eropah yang bunuh diri kerana kecewa dengan hidup; hidup cara Barat!

Barat selalu mengangung-agungkan pemikiran. Mereka cakap mereka rasionalis. Apa-apa mesti ada hujah yang boleh diterima akal. Kalau sungguh mereka berfikir ikut logik akal, sudah tentu mereka akan menerima bahawa dunia ini ada penciptanya. Bukankah Adnan Oktar, saintis Islam Turki sudah berjaya mematahkan hujah-hujah teori Evolusi Darwin dengan 'Atlas of Creations'-nya? Kalau mereka menggunakan akal dengan betul, sudah tentu mereka taajub, mengapa agama-agama di atas muka bumi ini mempunyai persamaan antara satu sama lain; bagaikan memberi isyarat bahawa semua agama ini berasal dari sumber satu, iaitu agama Nabi Adam AS?!

-Kembalilah kepada Tuhan, cahaya kehidupan. Rahsia bahagia di dunia. Akhirat kekal selama pada Allah-

Wassalam.