Semaklah Darjat Hadis di Sini



بحث عن:

Ahad, 20 September 2009

Dari Mata Turun ke Hati

-Makalah yang Membangkitkan Isu Menonton Televisyen -

Alhamdulillah, segala puja dan puji hanya untuk Tuhan langit dan bumi serta alam semesta; selawat serta salam moga-moga Allah sampaikan kepada Nabi Muhammad SAW, penghulu Bani Adam, penutup para nabi dan rasul AS. “Janganlah kalian menjadikan makamku sebagai tempat perayaan, berselawatlah kepadaku kerana selawat kalian akan sampai kepadaku dari mana pun kalian berada.” [Hasan: Abu Daud: dihasankan oleh al-Hafidz]
…………………………………………………………………

Jarang benar isu tentang hukum menonton televisyen diulas oleh para pendakwah. Begitu juga dengan hukum melihat gambar yang terpampang dalam segenap media massa dewasa kini. Nadir sungguh isu-isu sebegini dibincangkan. Bagaikan ulama-ulama silam tidak pernah menukilkan hadis-hadis Rasulullah SAW berkenaannya atau Allah taala tidak pernah menurunkan ayat ke-30 dan ke-31 dalam surah al-Nur!

Maka, bersyukurlah kepada Allah kerana Dia memperingatkan kalian dengan makalah ini. Insya-Allah, tidak rugi meluangkan masa bersamanya. Antum juga bertuah kerana mendapat sesuatu untuk dinasihatkan kepada para sahabat. Semoga dengan adanya usaha-usaha dakwah seperti ini, masyarakat Qurani akan muncul di Malaysia tercinta ini.

Berbalik kepada persoalan memandang. Memandang? Ya, memandang tapi fokusnya kepada memandang, melihat, menonton wanita atau lelaki ajnabi (asing, yang harus kita kahwini) dalam TV. Ana memilih TV kerana beberapa alasan antaranya kerana ana malu sangat tengok kawan-kawan ana tengok perempuan dalam TV di kedai makan hari tu! Ana memang pantang bab ni. Kalau ana sendiri yang tengok tu, semoga Allah mengampuni apa yang telah berlalu itu.

Dr. Yusuf al-Qardhawi, yang kini menetap di Qatar meghukumkan TV berdasarkan apa yang disiarkannya. Harus, jika apa yang dipaparkan itu harus dan begitulah sebaliknya. Umpama pisau, hukum menggunakannya adalah harus dan haram berdasarkan penggunaannya. Harus jika digunakan buat memotong daging, mengerat sayur, dan sebagainya serta haram kalau dibuat menakut-nakutkan orang, mencederakan kucing, dan seumpamanya. Demikianlah pendapat yang masyhur dari ulama yang tersohor. Dan dalam ‘Fatwa-fatwa Kontemporari’-nya, beliau condong untuk memakruhkan menonton TV.

Kesimpulan dari pendapat al-Qardhawi, TV harus ditonton selagi tiada perkara-perkara haram yang disiarkan dan terus menjadi haram jika ada perkara-perkara yang disiarkan itu haram. Timbul persoalan, apakah yang haram itu?

Cukuplah ayat-ayat Allah yang benderang dan hadis-hadis Rasul SAW yang terang ana kutip menjelaskan untuk kita. Antum semua sudah besar panjang, sudah mampu berfikir sendiri.

Allah SWT berfirman yang ertinya:
Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman, hendaklah mereka menundukkan padangan mereka dan menjaga kemaluan mereka; itulah yang lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah amat dalam pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka lakukan. [Surah al-Nur: ayat 30]

Imam Ibnu Katsir menghuraikan ayat ini dalam Tafsir-nya: ini adalah satu suruhan daripada Allah kepada hamba-hamba-Nya, lelaki-lelaki yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka daripada apa yang diharamkan… Dan kalau terpandang perkara yang haram tanpa sengaja, hendaklah ia mengalihkan pandangannya dengan segera sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahih-nya… Daripada datuknya, Jarir bin Abdullah RA, beliau berkata: aku bertanya Nabi SAW tentang pandangan yang tertiba-tiba maka baginda menyuruhku agar mengalihkan pandanganku.

Rasulullah SAW bersabda:
يا علي لا تتبع النظرة النظرة فإن لك الأولى وليست لك الآخرة
Ertinya: wahai Ali, janganlah kamu menyusuli (satu) pandangan dengan pandangan (yang lain) kerana untukmu (hanya pandangan) yang pertama, bukan yang akhir (yang lain). [Hadis hasan: Abu Daud, Tirmizi, Ahmad, dan al-Hakim]
Serta sabda-sabdanya yang lain sekitar masalah ini:
1. قالوا: وما حقّ الطريق يا رسول الله؟ قال: غَضُّ البصر...
Mereka (para sahabat RA) bertanya: dan apakah hak-hak jalan wahai Rasulullah! Baginda bersabda: menundukkan pandangan… [Sahih: Bukhari dan Muslim]
2. إن النظر سهم من سهام إبليس مسموم، من تركه مخافتي، أبدلته إيمانا يجد حلاوته في قلبه.
Sesungguhnya pandangan mata itu antara panah-panah iblis yang beracun. Sesiapa meninggalkannya lantaran takut kepada-Ku, akan Daku gantikan pandangan itu dengan iman yang ia rasa kemanisannya dalam hatinya. [Hadis dhaif: terdapat Abd al-Rahman bin Ishaq al-Wasithi]
3. الْعَيْنَانِ زِنَاهُمَا النَّظَرُ.
Dua mata itu zinanya adalah memandang. [Bukhari dan Muslim]

Menundukkan pandangan… Pandangan yang bagaimana? Pandangan ke arah wanita, kanak-kanak yang bertelanjang, anak kucing, atau apa? Nas-nas di atas belum menjelaskannya!
Dalam kitab الكبائر (Dosa-dosa Besar), Imam Zahabi menulis:
والنظر بشهوة إلى المرأة والأمرد زنا لما صح عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه قال: زنا العين النظر...
Memandang kepada perempuan dan anak-anak lelaki (yang cantik) yang disertai syahwat itu merupakan zina tatkala sahih daripada Nabi SAW bahawa baginda bersabda “zina mata itu ialah memandang…

Jelaslah kewajipan untuk mengelakkan diri daripada memandang perempuan dan anak-anak lelaki yang cantik (yang menimbulkan syahwat) menerusi keterangan Imam Zahabi di atas.

Sahabat-sahabat,
Manusia memang suka mencari alasan dan helah. Nas-nas yang ana kemukakan masih samar. Banyak persoalan lain yang boleh timbul. Antaranya, ayat al-Quran dan hadis di atas menyuruh kita menundukkan pandangan dari melihat perkara-perkara yang haram. Dan yang jelasnya adalah perempuan. Mungkin yang dimaksudkan dengan perempuan ialah perempuan yang tidak menutup aurat. Kalau menutup aurat tu, kita boleh tengoklah macam tengok muka dan tangan dia. Tak pun, tengok baju atau kain dia. Apa macam?

Inilah yang ana kesalkan sangat-sangat. Kebanyakan sahabat ana pun masih kurang faqih dalam masalah ini. Ada yang menyangka bahawa harus memandang wajah perempuan yang bertudung. Kefahaman yang jelas menerusi nas-nas yang ana tunjukkan adalah menundukkan pandangan daripada melihat wanita, sama ada menutup aurat atau tidak. Memandang aurat perempuan lebih-lebihlah haram. Hal ini berdasarkan hadis ini:
لا ينظر الرجل إلى عورة الرجل ولا تنظر المرأة إلى عورة المرأة
Ertinya: lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki (lain) dan perempuan tidak boleh melihat aurat perempuan (lain). [Hasan: Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Ahmad]

Jadi, sesama lelaki dan sesama perempuan pun tidak boleh melihat aurat sesama mereka, apatah lagi melihat aurat lawan jenis! Dan TV selalu menyiarkan wanita-wanita yang bukan sahaja tidak menutup kepala bahkan yang membuka perut dan paha. Keadaan ini menjadikan hukumnya bertambah-tambah haram. Kalau dikatakan: hadis tadi tentang tengok aurat orang. Mana hadis tentang tengok muka, tangan, baju, atau tudung saja?

Rasulullah SAW bersabda:
إذا خطب أحدكم المرأة فلا جناح عليه أن ينظر إليها إذا كان إنما ينظر إليها لخطبته وإن كانت لا تعلم
Ertinya: apabila salah seorang kamu meminang perempuan, tidak ada salahnya dia melihatnya (pinangan itu) selagi ia melihatnya bertujuan meminang walaupun ia tidak tahu (bahawa si lelaki itu melihatnya).

Secara tersiratnya, hadis ini menjelaskan bahawa harus bagi lelaki melihat wajah perempuan kalau tujuannya untuk meminang. Lafaznya: maka tidak ada salahnya ia melihat (muka wanita yang ingin dipinang) selagi ia melihatnya bertujuan meminang. Ini kalau tujuan meminang. Kalau bukan untuk meminang, jadi macam ni: maka salah baginya untuk melihat mukanya selagi bukan untuk meminang. Ini adalah keringanan daripada syarak. Dan kelonggaran ini terdapat dalam beberapa situasi lain seperti urusan jual-beli, saksi perbicaraan, pengajaran, dan perubatan. Ketika rawatan, perempuan dibenarkan membuka bahagian yang diperlukan dengan ditemani mahram.

Lagi, kalau benar lelaki harus melihat wajah perempuan ajnabi dalam keadaan biasa, pasti hadis di atas tidak akan disebut oleh baginda SAW. Mengapa baginda SAW perlu sebut “tidak ada salahnya…” kalau dalam keadaan biasa pun tidak ada salahnya?! Dan melihat tangan, baju, atau tudung wanita hukumnya hampir menyamai hukum melihat mukanya. Untuk membuktikannya, ana tiada hujah yang kuat tetapi cukuplah ana katakana, wanita wajib memakai pakaian yang longgar supaya tidak nampak bentuk tubuhnya. Bentuk tubuh. Jadi, syarak menyuruh wanita menyembunyikan bentuk tubuh wanita. Jadi, adakah patut mengharuskan lelaki melihat tudung dan baju wanita yang menunjukkan bentuk tubuhnya?! Lebih-lebih lagi melihat dada dan pinggul wanita, dahsyat!

Muktamadnya, menurut mazhab Syafi’e, nas dari Mukhtashar Abi Syuja’ menyebut:
ونظر الرجل إلى المرأة على سبعة أضرب: أحدها: نظره إلى أجنبية لغير حاجة فغير جائز... والرابع: النظر لأجل النكاح فييجوز إلى الوجه والكفين. والخامس: النظر للمداومة فيجوز إلى المواضع التي يحتاج إليها. والسادس: النظر للشهادة أو للمعاملة فيجوز النظر إلى الوجه خاصة.
Dan melihatnya lelaki kepada perempuan itu terbahagi kepada tujuh jenis. Pertama, melihatnya kepada perempuan ajnabi tanpa sebab maka tidak harus…dan keempat, melihat bertujuan berkahwin (meminang) maka harus (melihat) muka dan dua tapak tangan; kelima, melihat untuk berubat maka harus pada tempat-tempat yang perlu; dan keenam, melihat untuk kesaksian (menjadi saksi, urusan kehakiman, dan lain-lain), atau untuk tujuan muamalah (jual beli dan lain-lain) maka melihat itu harus khusus pada muka.

Matan di atas disyarahkan dalam kitab al-Iqna’ yang diajarkan dalam silibus Yayasan Islam Kelantan dan pondok.

Apa yang ana tulis ini nampaknya disokong oleh al-Qardhawi. Beliau menulis dalam kitab Halal dan Haram-nya (ana salin terjemahannya ke dalam bahasa Indonesia): di antara hal yang diharamkan Islam dalam bidang insting seksual ialah memperlama pandangan kepada wanita dari seorang laki-laki atau sebaliknya. Kerana mata merupakan kunci bagi hati, dan pandangan dapat menimbulkan fitnah dan mengantarkan kepada perzinaan. Seorang penyair zaman dahulu mengatakan;
Segala peristiwa bermula dari pandangan; dan api yang besar itu bermula dari percikan api yang kecil.

Penyair di era modern berkata;
Bermula dari pandangan, lalu senyuman, lalu menyapa, kemudian berbincang-bincang, berjanji, lalu bertemu.

Kerana itulah Allah mengarahkan perintah-Nya kepada orang mukmin laki-laki dan wanita secara keseluruhan agar mereka menundukkan pandangan. Perintah ini diiringi dengan perintah menjaga kemaluan; (kemudian, al-Qardhawi menyebutkan ayat ke-30 dan 31 surah al-Nur). Terdapat dalam kedua ayat tersebut beberapa pengarahan Allah. Di antaranya pengarahan-pengarahan untuk laki-laki dan wanita secara keseluruhan, yaitu menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan…
…Yang dimaksud dengan menahan pandangan ialah menjaganya dan tidak melepas kendalinya untuk setiap orang yang lalu-lalang baik dari laki-laki maupun wanita. Jika seseorang melihat kepada lawan jenis, maka ia tidak mengamat-amati kecantikan atau ketampanannya, tidak memperlama dan mempertajam pandangannya kepada lawan jenis tersebut. [Halal dan Haram dalam Islam: ms 200-202]

“Allah ingin supaya kalian senang bukan hendak menyusahkan.” Dan memang roh Islam adalah kemudahan. Islam tidak pernah menyuruh kita berjalan dengan menilik jalan sehingga terlanggar tiang. Islam tidak pernah mewajibkan kita agar membahagikan pasar kepada dua, pasar lelaki dan pasar perempuan. Islam tidak pernah menyuruh perempuan tidur di rumahnya sendiri dengan bertudung dan berstokin. Islam tidak pernah menyuruh lelaki yang kacak menutup mukanya. Bahkan Islam tidak pernah mewajibkan perempuan berpurdah! (Memang ada sesetengah ulama mewajibkan wanita berpurdah seperti ulama Arab Saudi. Tetapi, ulama-ulama lain seperti al-Qardhawi dan al-Albani tidak beranggapan demikian.)

Dalam kitab yang sama al-Qardhawi menulis: dari kajian di muka jelas bahwa wanita memandang bagian tubuh laki-laki yang bukan aurat adalah boleh (mubah), selama tidak disertai gelora syahwat atau tidak dikhawatirkan timbulnya fitnah. Rasulullah sendiri mengizinkan Aisyah melihat orang-orang Habasyah yang sedang bermain anggar di Masjid Nabawi, dan Aisyah terus memandang mereka sampai merasa bosan lalu pergi. Demikian yang diriwayatkan Bukhari Muslim.

Seperti hal ini adalah melihatnya seorang laki-laki kepada yang bukan aurat wanita (yakni wajah dan tapak tangannya) adalah boleh, selama hal itu tidak disertai syahwat atau dikhawatirkan akan menimbulkan fitnah.
…Ringkasnya, melihat dengan biasa ke bagian tubuh yang halal bukan aurat, baik laki-laki maupun wanita adalah halal. Namun, dengan syarat tidak berulang-ulang dan melotot yang biasanya disertai dengan kelezatan, dan tidak dikhawatirkan timbulnya fitnah. [Halal dan Haram dalam Islam: ms 204-205]

Dua kata-kata al-Qardhawi yang ana gariskan di atas sama-sama penting. Kata-kata kedua perlu dilanjutkan dengan dua syarat yang telah diberikan.

TV! TV! TV! RTM1, RTM2, TV3, NTV7, TV9, dan Astro! (TV Saudi yang menyiarkan solat berjemaah dari Masjid Nabawi pun sama. -ana sebut TV Saudi yang ini sebab ana dah lihat sendiri setelah datang ke Jordan- Tiada siapa lagi yang boleh diharapkan untuk menjaga syariat Allah. Arab lebih teruk daripada Melayu.)

Oh, ana lupa! Ana dah jauh dari topik asal iaitu melihat wanita atau lelaki ajnabi dalam TV. Apa hukumnya? Ana bukan mujtahid, bukan mufti, bukan juga ustaz. Ana cuma mengumpul ayat al-Quran, hadis-hadis Rasulullah SAW, dan kata-kata ulama yang berkaitan untuk tatapan semua. Ana pun berasa cukuplah buat pembaca membuat penilaian sendiri. Pandai-pandailah guna kaedah qiyas . Qiaskan memandang ajnabi yang ada sekelas dengan kita, yang lalu-lalang di Medan Ilmu hari Jumaat, atau di KB Mall.

Ana pelik, mengapa sesetengah sahabat tidak memandang perempuan walaupun bertudung kalau di masjid. Tidak cuba intai-mengintai. Atau ketika dalam program-program ilmu seperti usrah. Tidak pula nampak jeling-menjeling. Tapi, di rumah, siapa tak kenal TV?! Habis artis dilihatnya. Sama ada Melayu atau Cina mahupun yang khas diimport khas dari India, Eropah, dan Amerika. Drama-drama yang memaparkan gadis-gadis yang seksi turut ditonton. Kadang-kadang bersama keluarga. (Sesiapa yang turut serta harus bertanggungjawab kerana bersubahat melakukan maksiat!)

Aneh! Pelik! Ganjil! Ajaib sungguh umat Islam hari ini. Hatta ustaz-ustaz pun turut sama menyemarakkan bahang keghairahan menonton TV. Bagaikan tidak pernah membaca al-Quran dan hadis. Atau buat-buat tak faham bahasa Arab. Seperti qariah zaman hitam putih membaca ayat al-Quran yang bermaksud “dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka…” [Surah al-Nur: ayat 31] sedangkan mereka hanya berselendang. Kalau apa yang ana sebut ini salah, maafkan ana kerana ana hanya nampak begitu dalam gambar-gambar lama. Tapi, zaman sekarang ni pun, ana ada jumpa perempuan membaca Yasin dekat dengan orang nazak atau mayat, hanya dengan berselendang. Ini, ana sendiri saksinya.

Ustaz-ustaz sendiri yang menyebut tentang drama ini, filem ini kepada ahli jemaah. Walaupun para ustaz tidak pernah sebut bahawa harus melihat perempuan dalam TV, tapi, kata-kata mereka berkenaan TV bagaikan suatu taqrir (pengakuan). Pendengar kuliah ustaz akan berkata “kalau ustaz pun tengok TV, kita apa lagi.” Dan apa yang ana sebut ini bukan tertuju kepada semua ustaz kerana ada sesetengah ustaz, TV pun tiada.
Lebih kurang 80% isi yang ana tampilkan di sini fokusnya adalah kepada lelaki. Memang pun, Imam Nawawi dalam kitabnya رياض الصالحين (taman-taman orang-orang yang soleh) menulis tajuk sebuah bab, “Bab Haramnya Memandang Perempuan Ajnabi dan Budak-budak Lelaki yang Cantik Tanpa Keperluan Syar’iyyah” sedangkan dalam baba-bab lain dimasukkan juga ‘perempuan.’ Apapun, ana tidak akan memandang ringan masalah perempuan memandang lelaki ajnabi kerana Allah azza wa jall berfirman yang ertinya “dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman: hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka…” [Surah al-Nur: ayat 31]

Ini tidak, mereka tonton filem Hindustan yang hero-heronya kacak-kacak belaka seperti Shah Rukh Khan, Salman Khan, dan sebagainya. Mereka tengok Mawi, Akil Hayy, dan Brett Pit! Pastu puji-puji mereka. Sampai kadang-kadang tu, dah lupa kat tunang. Yang tak tahannya, lupa kat suami, gila nak kahwin dengan artis!!

Apapun, mungkin ada sedikit keringanan kepada wanita dalam masalah ini kerana Sayyidah Aisyah RA pun menonton orang-orang Habsyah bermain di masjid bersama Rasulullah SAW sebagaimana kata al-Qardhawi yang lalu. Wallahua’lam. Cukuplah bagi para mukminat memperhatikan ayat Allah di atas dan menjadikannya sebagai pegangan tanpa menafikan keringanan syarak kepada mereka.

إن الدين يسر ولا يشاد الدين أحد إلا غلبه
Sesungguhnya agama itu mudah. Seseorang itu tidak akan melampau dalam agamanya melainkan sikapnya itu akan menewaskannya. [Sahih: Bukhari dan al-Nasai]

Sebelum ana menamatkan makalah yang dinamai ‘Dari Mata Turun ke Hati’ ini, ana ingin menegaskan bahawa TV merupakan punca kebanyakan kerosakan yang ada pada hari ini. Remaja mula mengenal zina, cinta monyet, lepak, rokok, judi, dan sebagainya menerusi drama dan filem dari TV. Akedemi Fantasia, Mentor, dan Bintang Kecil pun dari TV. TV menyiarkan berita tentang pemerkosaan, penangkapan pelacur, pembuangan bayi, dan lumba haram sedangkan TV sendiri dalangnya.

Ada ustaz menyampaikan bahawa Tok Kenali ada berkata “sikit masa lagi, dajjal akan masuk ke dalam setiap rumah.” Anda tahu apakah ‘dajjal’ itu? Dajjal itu adalah TV. Betapa banyak masa yang kita habiskan kerana TV? Berapa banyak solat yang kita tangguhkan kerana TV? Cuba kira, kalau sehari kita menonton TV selama sejam, kalau sebulan 30 jam kalau setahun 365 jam kalau 10 tahun 3650 jam. Maksudnya 152 hari penuh setengah kita habiskan untuk TV. Itu kalau sejam sehari. Kalau dua tiga jam? TV oh TV.

Ana tambah, antara strategi Yahudi (atau sekutunya) ke atas umat Islam yang dikenali sebagai 5S ialah seks bebas (sex), sukan (sport), lagu (song), rokok (smoking) dan yang satu lagi ana lupa. Keempat-empat strategi Yahudi ini ada dalam TV. Tak perasan?

Cukup. Moga-moga mendatangkan kebaikan kepada semua. Ana tidak memohon apa-apa daripada saudara pembaca melainkan doa sebagaimana pinta Imam Nawawi dalam Riyadh-nya:
وأنا سائلٌ أخاً انتفع بشيء منه أن يدعو لي , ولوالدي, ومشايخي, وسائر أحبابنا, والمسلمين أجمعين.
Dan aku meminta saudara yang mengambil sesuatu daripadanya (kitab ini) agar berdoa untukku, ibu bapa, guru-guru, dan seluruh orang-orang yang kami kasihi, serta kaum Muslimin semua.
Dan selawat serta salam buat Nabi Muhammad SAW, penghulu Bani Adam, dan puja dan puji hanya untuk Allah, alhamdulillah, wassalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.

-Panel Syu'bah Fitnah Wanita di bawah Qism Dakwah 1430/1431H-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan