Semaklah Darjat Hadis di Sini



بحث عن:

Ahad, 15 November 2009

TINJAUAN AMALAN TAREKAT
KEPERLUAN, KRITIKAN DAN HARAPAN

Syaikh Zakaria Al-Kandahlawi di dalam kitabnya “Al-Syari’at Wa Al-Tarekat” berkata:

الطريقة في الواقع هي اسم ثان للاحسان المذكور (أي في قوله صلي الله عليه وسلم)
او انها الطريقة التي يمكن بها الحصول علي صفة الاحسان , وهو الذي يقول له التصوف او السلوك.

Tarekat sebenarnya adalah nama lain daripada Ihsan (iaitu yang disebut di dalam hadith Rasulullah SAW) atau ia merupakan jalan yang dengannya dapat diperolehi sifat Ihsan, dan ia juga dinamakan tasawwuf atau suluk.

Beliau juga telah menceritakan bahawa datuk beliau, Syaikh Muhammad Ismail Al-Kandahlawi, ketika menyatakan keinginannya untuk memperoleh sebahagian taklimat tentang tarekat daripada Imam Al-Kankuhi, maka Imam Al-Kankuhi bertanyakan beliau:

هل الاعمال التي تحافظ عليها هذه حصلت لك فيها درجت الاحسان؟

“Apakah amalan-amalan yang anda pelihara ini mencapaikan anda kepada martabat Ihsan?” Beliau menjawab: “نعم, حصلت “Ya, tercapai.”

Al-Kankuhi berkata:

اذن فلا حاجة لك الي اية تعليمات, لان الاشتغال باشغال الصوفية بعد الحصول على مرتبة الاحسان مثله كمن يدرس كتاب "كريما" (وهى الكتاب التى تدرس فى الابتداءية اللغة الفرسية ) بعد ان يكون قد فرغ من دراسة كتاب "كلستان بوستان" (من كتب الادب الكبيرة فى اللغة الفرسية), وهذا ظاهر ان هذا فيه تضييع محض للوقت, لذا فان اشتغا لك باشغال المشا يخ ما هو الا تضييع محض للوقت , لذا فان اشتغالك باشغال المشايخ ما هو الا تضييع للوقت ومعصية.

“Jika demikian, maka anda tidak memerlukan sebarang taklimat, kerana menyibukkan diri dengan kerja-kerja sufiyyah setelah memperoleh martabat Ihsan adalah seumpama orang yang mempelajari kitab “Krima” (iaitu kitab bahasa Parsi yang dipelajari di sekolah rendah) setelah selesai mempelajari kitab “Kalstan Bustan” (iaitu yang termasuk kitab kesusasteraan Parsi yang besar). Yang demikian adalah jelas membuang masa. Kerananya menyibukkan diri anda dengan kerja-kerja masyayikh hanyalah perbuatan membuang masa dan ia merupakan maksiat”.

Imam Ghazali di dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulum Al-Din, menerangkan bahawa ilmu jalan ke akhirat itu ada dua bahagian, iaitu ilmu mukasyafah dan ilmu mu’malah.

Ilmu mukasyafah ialah apa yang dituntut daripadanya sekadar mengetahuinya saja dan tidak ada keizinan untuk menyimpannya di dalam kitab-kitab, meskipun ia merupakan puncak yang dituju oleh para penuntut dan menjadi hasrat pandangan para siddiqin, kerana ia adalah ilmu batin yang menjadi tujuan terakhir segala ilmu. Adapun ilmu mu’amalah, ia merupakan jalan kepadanya.

Para nabi tidak menerangkan kepada orang ramai melainkan mengenai ilmu yang merupakan jalan atau petunjuk kepada ilmu mukasyafah. Adapun mengenai ilmu mukasyafah itu sendiri, maka mereka tidak menerangkan mengenainya melainkan dengan menggunakan simbol-simbol dan isyarat sebagai memberi contoh dan kesimpulan, kerana mereka mengetahui ceteknya kefahaman orang ramai untuk mencernakannya. Para ulama adalah pewaris nabi, maka tidak ada jalan bagi mereka untuk berpaling daripada mengikuti jejak para nabi tersebut.

Ilmu mukasyafah ialah ibarat cahaya yang muncul di dalam hati ketika dibersihkan dan disucikan daripada sifat-sifatnya yang tercela, yang dengan sebabnya tersingkap banyak perkara yang sebelumnya hanya didengar nama-namanya dan digambarkan maknanya secara mujmal, tidak jelas. Maka dengan cahaya yang muncul tersebut menjadi jelas sehingga diperoleh ma’rifat yang hakiki atau sebenarnya mengenai zat, af’al dan sifat-sifat Allah yang kekal lagi sempurna, mengenai hikmat penciptaan dunia dan akhirat, mengenai erti kenabian dan nabi, erti syaitan, cara permusuhan syaitan terhadap manusia, cara pertembungan tentera malaikat dengan tentera syaitan di dalam hati, mengenal perbezaan antara bisikan malaikat dengan bisikan syaitan, mengenal akhirat, syurga, neraka, azab kubur, sirat, mizan, hisab dan sebagainya.

Dengan ilmu mukasyafah dimaksudkan terangkatnya tirai yang menutupi sehingga jelas yang hak atau yang sebenarnya dalam semua perkara tersebut sejelas memandang atau melihatnya dengan mata, di mana tidak ada keraguan lagi. Hal yang demikian adalah mungkin bagi diri manusia, jika cermin hatinya tidak lagi diselaputi oleh karat yang tebal daripada kotoran dunia.

Sesungguhnya yang dimaksud dengan ilmu jalan ke akhirat ialah ilmu mengenai cara menggosok cermin hati tersebut dan membersihkannya daripada kotoran-kotoran yang menjadi dinding penghalang daripada Allah SWT dan daripada mengenali sifat-sifat dan af’alNya. Cara membersihkan dan mensucikannya adalah dengan mencegahnya daripada mengikuti hawa nafsu atau syahwat, dan dengan mengikuti jejak para nabi a.s. dalam segala keadaan mereka. Maka mengikut kadar yang menjadi terang daripada hati yang mengarah kepada yang hak, nescaya akan menjadi terang pulalah hakikat-hakikatnya. Tidak ada jalan untuk ke sana melainkan dengan latihan dan dengan ilmu dan pengajaran.

Adapun ilmu mu’malah, yang merupakan jalan kepada ilmu mukasyafah, terbahagi kepada dua bahagian: pertama, ilmu zahir, iaitu ilmu yang berkaitan dengan amalan anggota badan; dan ia terbagi kepada adat dan ibadat. Kedua, ilmu batin, iaitu yang berkaitan dengan amalan hati atau dengan sifat-sifat yang ada di dalam hati yang juga terbagi kepada yang terpuji dan yang tercela.

Yang terpuji daripada sifat-sifat hati, seperti sabar, syukur, takut, harap, reda, zuhud, taqwa, qana’ah (menerima dan reda dengan apa yang diberi oleh Allah dalam segala keadaan), ihsan, baik sangka, baik pergaulan, jujur dan ikhlas. Mengenali hakikat sifat-sifat ini, batasan-batasannya, sebab-sebabnya yang dengannya ia diperoleh, buah atau natijahnya, tanda-tandanya, cara mengubati yang lemah daripadanya dan cara mengembalikan yang hilang daripadanya adalah termasuk ilmu jalan ke akhirat.

Adapun yang tercela daripadanya, seperti takut kefakiran, dengki, dendam, busuk hati, penipu, gila pangkat, gila pengaruh, gila kuasa, suka dipuji, sombong, riya’, pemarah, keras kepala, permusuhan, benci, tamak, kikir, angkuh, kufur nikmat, mengagungkan orang kaya, bangga, menganggap diri mulia, malu menerima kebenaran, sibuk dengan kecacatan atau kekurangan orang lain sehingga lupa kecacatan atau kekurangan diri sendiri, ‘ujub, nifaq, cintakan dunia, cinta harta, gopoh, tidak mempunyai perasaan malu, kasar hati, tidak mempunyai perasaan belas kasihan, lalai dan sebagainya. Sifat-sifat tersebut dan yang seumpamanya daripada sifat-sifat hati yang tercela ini merupakan tempat tersemainya kekejian dan tempat tumbuhnya segala macam perbuatan yang dilarang. Adapun lawannya, iaitu sifat-sifat yang terpuji merupakan sumber segala perbuatan taat dan ibadat atau pendekatan diri kepada Allah. Maka ilmu tentang batasan-batasan segala sifat-sifat ini, hakikat-hakikatnya, sebab-sebabnya, buah atau natijahnya dan cara mengubatinya merupakan ilmu jalan akhirat, dan merupakan ilmu fardhu ‘ain, mengikut fatwa para ulama akhirat.


Hubungan Tasawwuf atau Tarekat dengan Aqidah

Daripada sabda Nabi SAW, jelaslah bahawa Ihsan adalah kesepaduan atau kesebatian aqidah dengan syari’at. Kerananya, tasawwuf dan tarekat ini tidak boleh keluar daripada aqidah atau syari’at, samada pada asas pegangannya atau sumbernya, ataupun pada furu’ atau cawangan-cawangannya. Melupakan tujuan bererti menyelewang, begitu juga setiap perbuatan atau amalan tasawwuf atau tarekat yang keluar atau bercanggah dengan syari’at atau aqidah adalah merupakan penyelewengan, kerana tasawwuf dan tarekat merupakan penghayatan bagi keduanya.

Untuk mencapai tujuan tersebut, maka di dalam ilmu tasawwuf dan tarekat, kita menjumpai pembahasan mengenai masalah roh, qalb, akal dan nafs, di samping pembahasan segi penghayatan ilmu aqidah, segi batin daripada masalah-masalah fiqh, kemudian segi pengamalan Al-Quran dan As-Sunnah, iaitu yang merupakan usaha untuk menjadikan keadaan dan perjalanan Rasulullah SAW dan para sahabat dalam menjiwai Islam, iman, ihsan, taqwa, syukur dan seumpamanya sebagai kenyataan dan perlu dihayati secara sempurna.

Di dalam kitab Tarbiyatuna al-Ruhiyyah, Said Hawa menjelaskan bahawa “Di dalam ilmu ‘aqaid biasanya dikemukakan masalah-masalah i’tiqad dan dalil-dalilnya, dan biasanya disebutkan pokok-pokok permasalahan yang dipertikaikan antara Ahlu Al-Sunnah Wa Al-Jama’ah dan lain-lainnya tanpa mengisyaratkan kepada al-janib al-dzawqi wa al-‘atifi wa al-syu’uri wa al-tahaqquqi (segi merasa, menyedari, menginsafi dan menhayati ) dan tanpa menjelaskan jalan untuk mencapai yang demikian melainkan hanya sekali-sekala sahaja.

“Sebagai contoh di dalam ilmu ‘aqaid dinyatakan bahawa Allah ‘Azza wa Jalla bersifat Mendengar, Melihat, Berkata-kata, Berkehendak, Berkuasa, Hidup, Mengetahui dan sebagainya, tetapi masalah bagaimana menjadikan seseorang hamba merasa bahawa hatinya ketika membaca Al-Quran merasakan bahawa Al-Quran itu adalah kalam Allah, menjadikan manusia merasakan bahawa segala sesuatu sebagai makhluk merupakan kesan daripada kekuasaan Allah SWT. Pengertian-pengertian seumpama ini biasanya tidak dibahas di dalam kitab-kitab ilmu aqa’id, tetapi dibahas di dalam kitab-kitab tasawwuf.

Maka kitab-kitab tasawwuflah yang membahas tentang merasakan nilai-nilai aqidah dan yang mengingatkan bahawa penghayatan ini bukan termasuk perkara yang disunatkan, tetapi kadang-kala termasuk perkara yang difardhukan. Kita sendiri melihat bahawa Al-Sunnah telah memberikan perhatian yang banyak kepada masalah merasakan nilai-nilai aqidah, seperti sabda Nabi SAW:

ذاق طعام الايمان من رضي بالله ربا وبالاسلام دينا وبمحمد رسولا.

Yang merasakan lazatnya keimanan adalah oranng yang reda terhadap Allah sebagai
Tuhannya, terhadap Islam sebagai agamanya dan terhadap Muhammad sebagai Rasul.

Rasulullah SAW juga bersabda:

ثلاث من كن فيه وجد طعم الايمان : من كان الله ورسوله احب اليه مما سواهما, ومن احب عبدا
لا يحبه الا الله, ومن يكره ان يعود فى الكفر بعد ان انقذه الله منه كما يكره ان يلقى فى النار.

Ada tiga perkara, yang barangsiapa terdapat pada dirinya, maka dia akan merasakan lazatnya keimanan: Orang yang mencintai Allah dan RasulNya lebih daripada selain keduanya, orang yang mencintai seorang hamba hanya kerana Allah, dan orang yang benci untuk kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya sebagaimana dia benci untuk dilempar ke dalam neraka.

“Di dalam kitab aqaid, mungkin anda membaca pembicaraan tentang iman secara bersendirian, tentang kufur dan gejala-gejalanya, dan tentang nifaq serta batasannya, tetapi kitab tasawwuflah yang membicarakan bagaimana cara menghayati nilai-nilai keimanan secara amali, cara menjadikan keyakinan dan ketenangan secara amali sebagai kenyataan dan cara-cara membebaskan diri daripada nifaq, yang kesemuanya merupakan masalah-masalah yang tidak mencukupi kalau manusia hanya sekadar mengetahui batasannya. Seorang mungkin mengetahui batasannya, tetapi antara dia dan hakikat-hakikatnya masih terlalu jauh selama ia tidak berjalan menuju kepadanya….”

Sa’id Hawa menyatakan: “Sekadar mengetahui adalah satu masalah dan berjalan atau berusaha untuk menghayati dan cara-cara yang demikian adalah masalah lain. Apakah ilmu yang menunjukkan ke jalan tersebut dan yang menyempurnakan segi-segi yang biasanya dibicarakan oleh kitab-kitab aqaid?

“Ilmu yang membicarakan masalah tersebut tidak lain adalah ilmu tasawwuf. Apabila ilmu ini telah dikotori oleh banyak perkara, maka yang demikian tidak membatalkan kedudukannya sebagai salah satu daripada ilmu-ilmu Islam atau menjadikan kita ragu-ragu terhadapnya. Bahkan menjadi kewajiban kitalah untuk membersihkannya serta memberikan kepadanya batasan-batasan serta hak-haknya.”

“Maka ilmu aqaidlah yang mengikat imu tasawwuf, dan ilmu tasawwuf yang menyempurnakan ilmu aqaid dari segi penghayatannya. Apabila tasawwuf menambahkan atas yang demikian dengan perkara-perkara yang menyalahi atau dengan aqidah-aqidah baru yang menyalahi Al-Quran dan As-Sunnah, atau menyalahi aqidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jama’ah sebagaimana yang diwarisi daripada ulama salaf selama masa ini, maka ia merupakan penyelewengan, penyimpangan dan perbuatan bid’ah yang keji.”

“Jika anda membaca di dalam sesuatu kitab sufi atau mendengar daripada seorang sufi suatu perkataan yang tidak terdapat di dalam Al-Quran atau Al-Sunnah atau tidak pernah diucapkan oleh ulama salaf - yang bukan termasuk dari segi istilah, atau dari segi kefahaman yang benar terhadap nas-nas, atau dari segi pengamalan makna yang tersebut di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah, maka tidak mengapa untuk anda menolaknya dan hendaklah anda merasa tenang bahawa apa yang anda buat itu sendiri adalah tasawwuf yang sebenarnya dan bukan yang lainnya. Para ulama suluk yang mu’tabar atau diterima oleh ummat secara ijma’ bersama anda.

Abu sulaiman Al-Darani berkata:

ربما وقعت النكتة من كلام القوم فى قلبى, فلا اقبلها الا بشاهدى عدل من الكتاب والسنة,
فان الله ضمن لي المعصية فى الكتاب والسنة ولم يضمنها لى فيما سوى ذلك.

Mungkin timbul suatu kesan atau kefahaman di dalam hatiku daripada ucapan suatu kaum, maka aku tidak menerimanya melainkan dengan kesaksian dua saksi yang adil, iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Sesungguhnya Allah telah menjamin pemeliharaan bagiku di dalam Al-Quran dan As-Sunnah, dan tidak menjamin bagiku pada yang selainnya.

“Di antara wisoyah (pesanan) para imam suluk yang terkenal adalah ucapan salah seorang daripada mereka:
يا بني, كن محدثا صوفيا, ولا تكن صوفيا محدثا.

Wahai anakku, jadilah seorang muhaddith yang sufi dan
janganlah menjadi seorang sufi yang muhaddith.

“Sebabnya seorang sufi yang muhaddith menjadikan nas mengikuti hawa nafsunya, sedang seorang muhaddith yang sufi, menjadikan hawa nafsunya yang mengikut nas.

“Jika anda menjumpai di dalam suatu kitab atau mendengar daripada seseorang kefahaman tentang sesuatu nas yang bertentangan dengan kefahaman para ulama aqidah atau para ulama mujtahidin atau a’immat al-tafsir atau qawa’id al-fiqh, maka buanglah kefahaman tersebut tanpa ragu-ragu.

“Sesungguhnya tasawwuf dalah penghayatan. Jika ahlinya ingin memberikan kepada kita aqidah-aqidah baru atau ijtihad-ijtihad fiqhiyah yang baru, atau gambaran-gambaran yang salah, atau kefahaman-kefahaman yang salah dalam masalah-masalah aqidah yang bersandarkan kepada hadith-hadith yang palsu atau da’if, maka tidak semestinya untuk kita ragu-ragu menolaknya”.

Untuk menilai ada atau tidak adanya pertentangan ini mestilah dengan meminta pandangan ahlinya masing-masing.

Di dalam kitab Qawa’id Al-Tasawwuf , Syaikh Zarruq berkata:

انمل يؤخذ علم كل شىء من اربابة: فلا يعتمد صوفي فى الفقه الا ان يعرف قيامه عليه, ولا فقيه فى التصوف الا ان يعرف تحقيقه له, ولا محدث فيهما الا ان يعلم قيامه بهماز فلزم طلب الفقه من قبل الفقهاء لمريد التصوف . وانما يرجع لاهل الطريقة فيما يختص يصلاح باطنه من ذلك ومن غيره. ولذلك كان الشيخ ابو محمد المرجانى رضى الله عنه يامر اصحابه بالرجوع الى الفقهاء فى مساءل الفقه وان كان عارفاز

Bahawasanya ilmu setiap perkara diambil daripada ahlinya; pandangan seorang sufi dalam masalah fiqh tidak mu’tamad (tidak boleh dijadikan pegangan) kecuali dia dikenal sebagai pakar dalam bidang tersebut; pandangan seorang faqih dalam tasawwuf tidak mu’tamad kecuali jika ia dikenal berpengalaman dalam tasawwuf. Begitu juga pandangan seorang muhaddith dalam fiqh dan tasawwuf kecuali jika dia dikenal sebagai pakar dalam kedua bidang tersebut. Maka wajiblah bagi penuntut tasawwuf mempelajari fiqh daripada fuqaha’. Dia hanya meminta pandangan ahli tarekat dalam perkara yang khusus berkaitan dengan kemaslahatan batinnya. Oleh sebab itulah Syaikh Abu Muhammad Al-Murjani r.a. memerintah sahabat-sahabatnya supaya bertanya kepada para fuqaha’ dalam masalah-masalah fiqhiyah, meskipun beliau sendiri seorang yang ‘arif mengenainya. Fahamilah yang demikian!”.


Hubungan Tasawwuf atau Tarekat dengan Fiqh atau Syari’at

Mengenai hubungan tasawwuf dengan fiqh, Sa’id Hawa menerangkan: “Biasanya kitab-kitab fiqh memulakan dengan pembahasan mengenai taharah dari segi perbuatan dan ucapan, tetapi jarang yang membicarakan tentang makna-makna batin yang semestinya mengiringi amalan bersuci. Kemudian membicarakan tentang solat: syarat-syaratnya, rukun-rukunnya, wajib-wajibnya, sunnat-sunnatnya, adab-adabnya, perkara-perkara yang dimakruhkan dan perkara-perkara yang merosaknya, tetapi tidak membicarakan makna-makna batin yang semestinya mengikuti amalan-amalan tersebut, seperti khusyu’ dan jalan serta faktor-faktor yang membawa kepadanya, padahal ia merupakan salah satu ilmu, berdasarkan kesaksian nas-nas, bahkan sebagaiman ayang dinyatakan di dalam hadith, ia merupakan ilmu yang pertama kali diangkat dari permukaan bumi.

“Apakah ilmu yang menyempurnakan ilmu fiqh di dalam semua urusan ini? Tidak syak lagi, ia adalah ilmu tasawwuf, iaitu ilmu yang biasa membahas seumpama masalah-masalah ini, yang kerananya ia menyempurnakan ilmu fiqh dari segi-segi batin, seperti mengajarkan tentang ikhlas dan cara mencapainya. Bahkan tugas ilmu tasawwuf tidak terbatas pada yang demikian, kerana ia juga meningkatkan kesediaan manusia untuk berpegang teguh mematuhi hukum-hukum fiqh”.

Beliau menyimpulkan dengan mengatakan: “Tasawwuf adalah mesti atau sangat diperlukan sebagai penyempurna bagi fiqh, dan fiqh adalah mesti sebagai hakim atau pengadil bagi tasawwuf, hakim bagi amalan dan juga sebagai pengarah. Sesiapa yang terluput sesuatu daripadanya, maka sesungguhnya telah terluput daripadanya separuh daripada permasalah agamanya.

“Tasawwuf dan fiqh adalah dua ilmu yang saling melengkapi. Apabila keduanya bertentangan, maka yang demikian adalah kesalahan, kesesatan dan penyelewengan.”

“Yang dimaksudkan dengan pertentangan ialah apabila seorang sufi bergerak jauh daripada fiqh, padahal fiqh adalah sebagai hakim atau pengadil; atau apabila seorang faqih menjauhi diri daripada pelaksanaan, padahal yang demikian merupakan tanda daripada kefasikan hati”.

Syaikh Ahmad Bin Ahmad Bin Muhammad Zarruq berkata di dalam kitabnya Qawa’id al-Tasawwuf: “Hukum fiqh adalah umum, berkaitan dengan perkara yang menyeluruh, kerana tujuannya adalah menegakkan perintah agama, meninggaikan syi’arnya dan menampakkan kalimatnya, sedang tasawwuf adalah khas berkaitan dengan perkara tertentu, kerana ia merupakan mu’amalah antara hamba dengan Tuhannya tanpa sebarang tambahan. Kerananya, peningkatan faqih ke atas sufi adalah benar atau sah, sedang peningkaran faqih ke atas faqih tidak benar atau tidak sah.” (Maksudnya: Faqih menghakimi atau mengadili ke atas sufi, dan tidaklah sufi menghakimi atau mengadili ke atas faqih).

“Kembali daripada tasawwuf kepada fiqh adalah suatu kemestian, sedang kembali daripada fiqh kepada tasawwuf tidak boleh melainkan dengan fiqh. Fiqh tanpa tasawwuf adalah sah, sedang tasawwuf tanpa fiqh tidak sah, meskipun tasawwuf lebih tinggi martabatnya daripada fiqh.”

“Fiqh adalah lebih selamat dan merata kemaslahatannya daripada tasawwuf. Kerana itulah dikatakan:
كن فقيها صوفيا, ولا تكن صوفيا فقيها

Jadilah seorang faqih yang sufi, dan janganlah menjadi seorang sufi yang faqih.

Abu Bakar Muhammad Al-Kalabadzi, di dalam kitabnya Al-Ta’arruf Li Madzhabi Ahl al-Tasawwuf, berkata:

اعلم أن علوم الصوفبة علوم الأحوال مواريث الأعمال, ولا يرث الأال الأ من صحح الأ عمال , وأول تصحيح الأ عمال معرفة عمومها, وهي علم الأحكام الشر عية من أصول الفقه وفروعه من الصلاة و الصوم وسائر الفرائض الى علم المعاملات من النكاح والطلاق والمبايعات وسائر ما أوخب الله تعالى وندب اايه وما لا غناء به عنه من أمورالمعاش.

Ketahuilah, bahawa ‘ulum al-sufiyah adalah warisan a’mal; tidak ada yang mewarisi ahwal melainkan orang yang telah membetulkan a’mal. Awal pembetulan a’mal adalah mengetahui ilmu-ilmunya, iaitu ilmu hukum-hukum syara’ daripada ilmu Usul al-Fiqh dan furu’nya, iaitu: salat, puasa dan semua yang difardukan sampai kepada ilmu mu’amalat, iaitu nikah, talak, jual-beli, dan seluruh yang diwajibkan dan dianjurkan oleh Allah SWT, di samping perkara-perkara yang sangat diperlukan daripada urusan kehidupan.

Sa’id Hawa berkata: “Apabila telah jelas persoalannya, maka kami mengatakan: Jika kami mengatakan bahawa faqih mesti bertasawwuf atau sufi mesti bertafaqquh, maka mestilah jelas bahawa yang dimaksudkan adalah bahawa ilmu faqih mestilah merangkumi segala yang berkaitan dengan hukum-hukum dan berkaitan dengan cara pengamalan dan penghayatannya; dan ilmu sufi merangkumi segala yang diperlukan daripada hukum-hukum dan diiringi oleh amalan yang sahih di bawah sinaran ilmu yang sahih. Kerana itu, para pemimpin suluk yang besar, seperti Syaikh Al-Rifa’i, berkata: Sesunggunya tujuan terakhir daripada ulama dan para sufi adalah satu. (Maksudnya sama).


Pedoman Mengikuti Tarekat

Daripada penjelasan tentang ilmu tasawwuf atau tarekat dan hubungannya dengan aqidah dan fiqh atau syari’at, jelaslah bagi kita bahawa unrtuk mencapai martabat atau tingkatan Ihsan yang menjadi tujuan tarekat, maka terlebih dahulu kita mesti mendalami ilmu aqidah, ilmu fiqh atau syari’at, disamping mendalami ilmu tentang Al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi sumber utama segala ilmu Islam.

Imam Ghazali mengatakan bahawa diantara tugas mursyid atau guru adalah melarang muridnya mempelajari ilmu yang tersembunyi,iaitu ilmu batin, sebelum menyelesaikan ilmu zahir”.

Di dalam kitab Al-Sya’rani Wa al-Tasawwuf al-Islami dijelaskan bahawa Iman Sya’rani ,ketika beliau ingin memasuki tasawwuf atau tarekat , selepas beliau menghafal berbagai kitab singkatan mengenai tauhid, fiqh, nahu, usul fiqh, hadith dan lain–lain, seperti kitab Al-Minhaj li al-Imam al –Nawawi, Alfiyah Ibni Malik, Al-Tawadih li Ibni Hisyam, Jam’al-Jawami’, Alfiyah al-‘Iraqi, Talkhis al-Miftah, Al-Syatibiyyah, Qawa’id Ibni Hisyam dan lain-lainnya, para syeikhnya yang dimintakan pandangannya menasihati beliau supaya jangan gopoh atau tergesa-gesa. Mereka meminta supaya beliau jangan memasuki tarekat sebelum beliau menyempurnakan ilmu-ilmu zahir dan mensyarah atau menghurai seluruh kitab-kitab yang dihafalnya.

Seseoarang yang memasuki tarekat sebelum mendalami ilmu-ilmu tersebut mungkin menjadi mangsa ajaran sesat tanpa disedari sekiranya ia salah memilih dengan memasuki tarekat yang menyebarkan ajaran-ajaran sesat, sedang ia sendiri tidak dapat membezakan antara yang benar dan yang salah, baik dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan kepercayaan ataupun yang berkaitan dengan amalan, disebabkan tidak mempunyai ilmu yang mendalam yang diperlukan untuk itu.

Tanpa ilmu-ilmu yang diperlukan tersebut, seseorang juga boleh terpengaruh oleh pandangan-pandangan yang salah, seperti kekeliruan orang yang memasuki tarekat untuk mencapai apa yang disebut “kasyaf” dan “karamah”, sedang kasyaf dan karamah itu merupakan tanda benarnya jalan, bukan tujuan. Seperti juga kekeliruan sebahagian sufiyah yang mengaitkan antara kasyaf atau wusul dengan kebebasan daripada taklif(bebanan), iaitu mereka menjadikan wusul itu sebagai teman kebebasan daripada hukum-hukum syari’at, maka ia mendakwakan tidak wajib lagi melakukan solat, puasa dan lain-lainnya.

Mereka berhujjah dengan firman AllahSWT di dalam surat Al-Hijr, Ayat 99:

واعبد ربك حتى يأتيك اليقين

“Sembahlah Tuhanmu sehingga datang kepadamu al-yaqin”.

Mereka mentafsirkan “al-yaqin” dalam ayat tersebut dengan keyakinan. Ertinya: apabila sudah datang keyakinan dengan tersingkapnya sebahagian daripada perkara-perkara ghaib bagi seseorang, maka berakhirlah tugas ibadat baginya.

Para ulama mentafsirkan al-yaqin dengan maut atau kematian, kerana Rasulullah SAW sendiri beribadat kepada Allah SWT sehingga datang kematian. Tidak ada manusia yang sampai kepada tingkatan keyakinan lebih daripada Rasulullah SAW, namun demikian Rasulullah SAW beribadat sampai mati. Dari kenyataan ini, jelaslah kesalahan penafsiran mereka tersebut.

Al-Junaid, ketika ditanya mengenai mereka yang berpandangan demikian, menjawab: “Ya, mereka telah wusul (sampai), tetapi ke neraka”. Mengenai kasyaf itu sendiri, kadang-kala ia datang kepada seseorang sebagai istidraj (tipuan), seperti pada kisah Bal’am Bin Ba’ura. Jadi kasyaf itu boleh menjadi tanda anugerah Allah SWT dan boleh juga menjadi ujian daripadaNya. Tetapi yang jelas kita terikat dengan nas, bukan dengan kasyaf. Kasyaf tidak menambah sesuatu ke atas nas-nas; dengan kasyaf tidak ditetapkan sebarang aqidah atau amalan ibadat baru.

Di dalam kitab Al-Sya’rani Wa al-Tasawwuf al-Islami, telah dikemukakan penjelasan Imam Ghazali sebagai berikut:

فان قلت: فهل تنتهى رتبة السالك الى حد ينحط عنه بعض وظائف الهبادات ولا يضره بعض المدظورات كما نقل عن بعض المشايخ من التساهل فى هذه الأمور؟ فاعلم أن هذا عين الغرور, وأن المحققين قالوا: لورأيت انسانا يطير فى الهواء ويمشى على الماء وهو يتعاطى أمرا يخالف الشرع, فاعلن أنه شيطان؛ وهو الخق.

“Jika anda bertanya: “Apakah tingkatan salik berakhir kepada batas gugurnya sebahagian tugas-tugas ibadat daripadanya dan dibolehkan sebahagian larangan, sebagaimana dinukil daripada sebahagian masyayikh yang mempermudah dalam urusan ini? Maka ketahuilah, bahawa yang demikian merupakan tipuan; dan sesungguhnya para muhaqqiqin telah berkata: Kalau anda melihat seorang manusia terbang di udara dan berjalan di atas air, tetapi ia melakukan sesuatu perbuatan yang bertentangan dengan syara’, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya ia adalah syaitan. Ucapan tersebut adalah benar”.

Abu Hasan al-Syadzeli berkata:

اذا تعارض كشفك مع الكتاب والسنة, فتمسك بالكتاب والسنة ودع الكشف وقل لنفسك ان الله تعالى ضمن لى العصمة فى الكتاب والسنة ولم يضمنها فى جانب الكشف ولا الالهام ولا المشاهدة, مع أنهم أجمعوا على أنه لا ينبغى العمل بالكشف ولا باللهام ال بعد عرضه على الكتاب والسنة.

“Jika kasyaf anda bertentangan dengan Al-Qur^an dan Al-Sunnah, maka berpeganglah dengan Al-Quran dan Al-Sunnah dan tinggalkan kasyaf; dan katakan pada diri anda: Sesungguhnya Allah SWT telah menjamin bagiku pemeliharaan di dalam berpegang dengan Al-Quran dan As-Sunnah, dan tidak menjamin bagiku pemeliharan dalam berpegang dengan kasyaf atau ilham atau musyahadah. Lagi pula para ulama telah bersepakat bahawa tidak semestinya beramal dengan kasyaf atau ilham atau musyahadah, melainkan selepas diselidiki kesesuaiannya dengan Al-Qur^an dan Al-Sunnah”.

Diriwayatkan bahawa pada suatu hari, ketika Syeikh Abd Al-Qadir tekun beribadat di suatu tempat yang sunyi, tiba-tiba beliau melihat suatu sinaran (cahaya) dan mendengar suara yang mengatakan kepadanya:

ياعبد القادر, أنا ربك, فقد رفعتعنك التكاليف, ان شئت فاعبدنى, وان شئت فاتر كنى.

“Wahai Abd Qadir, aku ini Tuhan anda. Sesungguhnya aku telah bebaskan anda daripada segala beban. Jika anda (masih) mahu (beribadat), maka ibadatilah aku, dan jika mahu (beristirahat kerana sudah penat), maka tinggalkan”

Syaikh Abd Al-Qadir segera berkata: اخسأ يا ابلس “Pergi engkau wahai iblis!”

Seketika itu juga sinaran chaya tadi berubah menjadi gelap dan beliau mendengar suara yang mengatakan:



ياعبد القادر,فقت نجوت, فقت نجحت فى خداع سبعين صوفيا بعذه الطريقة.

“Wahai Abd Al-Qadir, sesungguhnya anda telah selamat, kerana aku
telah berhasil menipu tujuh puluh orang sufi dengan cara seperti ini”.

Ketika salah seorng muridnya bertanya:

من أين عرفت يامولانا أن الذى جاءك هو ابليس؟

“Wahai guruku, bagaimana tuan hamba
mengetahui bahawa yang datang kepada tuan hamba adalah Iblis?”

Beliau menjawab: من علمى بهذه العقيدة وبهذه الشريعة.

“Dari ilmuku tentang aqidah dan tentang syari’at ini”


Masalah Syeikh Tarekat

Sa’id Hawa berkata: “Sebahagian para sufi yang jahil sering melontarkan kata-kata:

من لاشيخ له فشيخه الشيطان

“Barangsiapa yang tidak mempunyai syaikh, maka syaikhnya adalah syaitan”.

“Kata-kata seperti ini diucapkan oleh seorang sufi yang jahil yang mengajak kepada syeikhnya yang jahil, atau diucapkan oleh seorang sufi yang jahil yang mengajak kepada syeikhnya yang berilmu, dan juga diucapkan oleh seorang sufi yang terkeliru, yang tidak mengetahui bagaimana meletakkan kata-kata tersebut pada tempatnya.

“]imaksudkan dengan perkataan “barangsiapa yang tidak mempunyai syeikh” ialah barangsiapa yang tidak ada yang mengajarkannya ilmu-ilmu syari’at, yakni orang-orang yang jahil yang tidak belajar dan menolak pengajaran, maka orang yang seperti itu syeikh atau gurunya adalah syaitan. Adapun orang yang berjalan di atas sinaran ilmu, maka imannya adalah ilmu dan syari’at.

“Di antara kaedah-kaedah yang disebut oleh Syeikh Zarruq mengenai keperluan murid kepada syaikh, di dalam kitabnya Qawa’id al-Tasawwuf, ialah bahawa taqwa tidak berhajat kepada syeikh kerana jelasnya. Beliau berkata: Orang yang cerdik mencukupi baginya kitab untuk meningkat, tetapi ia tidak selamat daripada kemungkinan kekeliruan dirinya.

“Kalau demikian, maka yang penting adalah kemampuan seseorang untuk belajar, kemudian mengambil ilmu dan berjalan di bawah sinaran ilmu ini. Ini merupakan had minimum yang diwajibkan oleh Allah SWT kepada para hambaNya. Ia boleh dipenuhi oleh seseorang apabila memiliki kemampuan untuk belajar dan memahami melalui membaca kitab-kitab yang muktamad yang boleh dipercayai, sebagaimana boleh diambil daripada para ulama yang beramal, baik yang dinamakan sufi atau bukan.

Tetapi Imam Sya’rani berpendapat kerana pada masa kini terlalu banyak penghalang yang menghalang seseorang untuk beramal dengan ilmunya, maka seorang murid berhajat kepada seorang syeikh yang mursyid yang dapat menunjukkan jalan atau cara melenyapkan penghalang-penghalang tersebut, di samping menerangkan perbezaan antara ilhamat dan waridat yang sahih dan yang palsu, mengajarkan adab dan cara menghiasi diri dengannya, cara melindungi diri daripada tergelincir dan juga cara mengubati penyakit-penyakit jiwa, seperti riya’, sombong, cintakan dunia, hasad, dendam, nifak dan sebagainya.

Menurut beliau, faedah syeikh adalah menyingkatkan jalan bagi murid. Beliau mengumpamakan syeikh adalah penunjuk jalan bagi para jemaah Haji ke Mekah yang berjalan di malam gelap. Kerananya, untuk mencapaikan murid kepada maksud tersebut, beliau mensyaratkan pada syeikh yang menjadi penunjuk beberapa syarat yang mesti dipenuhi dengan mengatakan:

ويشترط فى الشيخ فوق تعبده ووصوله أن يكون متبهرا فى علوم الشريعة على اختلاف أنواعها عارف بالأصول ومذاهب الأئمة الأربعة وغيرها بحيث يعرف أدلتها ومنازع أقوالها محيطا بأم الكتاب التى يتفرع منها كل قول.

“Disyaratkan pada syeikh, selain ta’abbud dan wusulnya, bahawa ia adalah orang yang mendalami ilmu-ilmu syari’at yang bermacam-macam jenisnya, ‘arif atau pakar mengenai ilmu usul dan mazhab-mazhab yang empat serta lain-lainnya, mengenal serta memahami dalil-dalil dan sebab-sebab perselisihan pandangan; dan juga mempunyai ilmu yang mendalam tentang Al-Quran, yang diambil daripadanya setiap pandangan”.


Hakikat Perjalanan Menuju Allah

Sebagai pedoman, kita perlu memahami pengertian berjalan menuju Allah, rukun dan titik tolaknya.

Di dalam Tarbiyatuna Al-Ruhiyah, Sa’id Hawa menjelaskan:

السير الى الله يعنى الانتقال من نفس عير مزكاة الى نفس مزكاة, ومن عقل غير شرعي الى عقل شرعي, ومن قلبكافر أو منافق أو فاسق أو مريَض أو قاس الى قلب مطمئن سليم, ومن روح شاردة عن باب الله غير متذكرة لعبوديتها وغير متهققة بهذه العبودية الى روح عارفة بالله قائمة بحقوق العبوديةله, ومن جسد غير منضبط بضوابط الشرع الى جسم منضبط انضباطا كاملا بشريعة الله عزوجل, وبالجملة من ذات أقل كمالا الى ذات أكثر كمالا فى صلاحها وفى اقتدائها برسول الله صلى الله عليه وسلم قولا وفعلا وحالا.

“Berjalan menuju Allah ertinya berpindah dari jiwa yang tidak bersih (kotor) kepada jiwa yang bersih, dari akal yang tidak mengikut syara’(tidak syar’i) kepada akal yang tunduk kepada syara’, dari hati yang kafir, munafiq, fasiq, sakit atau keras kepada hati yang tenang lagi selamat, dari roh yang menyimpang dari pintu Allah, tidak pernah mengingati tugas pengabdiannya dan tidak pernah melaksanakannya kepada roh yang mengenal Allah, yang melaksanakan segala kewajipan peribadatan kepadaNya, dari jasad yang tidak terkendali dengan kendali-kendali syara’ kepada jasad yang terkendali secara sempurna oleh syari’at Allah ‘Azza Wa Jalla.”

“Kesimpulannya: berjalan menuju Allah adalah berpindah dari zat yang kurang sempurna kepada zat yang lebih sempurna dalam kesalihan dan dalam mengikut Rasulullah SAW, baik dalam ucapan, perbuatan atau keadaannya”.



Mengenai rukun perjalan menuju Allah beliau berkata:

أن ركني السيرالى الله اللذين يستحبل بدونهما هما العلم والذكر: فلا سير الى الله بدون علم ولا سير الى الله بدون ذكر , فالعلم هو الذى يوضح الطريق والذكر هوزاد الطريق وأداة الترقى. قال عليه الصلاة والسلم: "الدنيا ملعونة ملعون ما فيها الأ ذكر الله وما واله أو عا لما ومتعلما" (رواه ابن ماجه وهو صحيح).

نحن بحاجة الى العلم لنعرف الأوامر الالهية, ولنعرف حكمتها فننفذ الأوامر ونحقق الحكمة, ونحن بحاجة الى الذكر ليكون الله معنا فى سيرنا اليه. فركنا السير الى الله علموذكر ويستحيل ان السلاك على نونين: نوع غلب عليه الذكر مع أجذه حظه من العلم ونوع غلب عليه العلم مع أخذه خظه من الذكر, وكل واحد منهما واصل فى تانهاية باذن الله عزوججل, ةلا شك أن العلم المراد منه هو العلم بالتاب و السنة وما يحتاجه السالك فى سيره قبل أى شيء اخر, وأن المراد بالذكر هو الذكر المأثور أو المندوب اليه الداخل ضمن أوامر الله ورسوله عليه الصلاة والسلام فى باب الذكر.

“Dan rukun perjalan menuju Allah, tanpa keduanya perjalan tersebut mustahil, ialah ilmu dan zikir: tidak ada perjalan menuju Allah tanpa ilmu dan tidak ada perjalanan menuju Allah tanpa zikir. Ilmu adalah yang menerangi jalan dan zikir adalah bekal perjalanan dan sarana pendakian. Rasulullah SAW bersabda: Dunia dilaknat, dilaknat apa yang ada di dalamnya, kecuali zikir kepada Allah dan apa yang menyertainya, atau orang yang berilmu dan yang menpelajari ilmu” (Hadith sahih, diriwayat oleh Ibnu Majah).

“Kita berhajat kepada ilmu untuk mengenali segala perintah Allah dan mengenali hikmatnya agar kita dapat melaksanakan segala perintah tersebut serta merealisasikan hikmatnya,dan kita berhajat kepada zikir agar supaya Allah bersama kita dalam perjalanan kita menuju kepadaNya.”

“Maka kedua rukun berjalan menuju Allah adalah ilmu dan zikir, dan tidak akan ada perjalanan melainkan dengan keduanya. Hanya, orang-orang yang menempuh jalan itu terbagi kepada dua golongan: Segolongan ledih banyak meperhatikan zikir meskipun mereka, mengambil bahagian mereka daripada ilmu, dan segolongan lainnya lebih banyak merperhatikan ilmu meskipun mereka mengambil bahagian mereka daripada zikir. Kesemua mereka, Insya Allah, pada akhirnya akan sampai pada tujuan mereka (wusul). Tidak diragukan bahawa yang dimaksudkan dengan ilmu ialah ilmu tentang Al-Qur^an dan as-Sunnah serata apa yang diperlukan oleh salik dalam perjalanan sebelum sesuatunya yang lain: dan bahawa yang dimaksudkan dengan zikir ialah zikir yang diwarisi atau yang dianjurkan yang termasuk ke dalam perintah Allah dan RasulNya SAW dalam bab zikir”

Beliau menjelaskan menjelaskan bahawa pembahagian tersebut adalah disebabkan kerana adanya perbezaan pada kecenderungan atau minat manusia itu sendiri. Segolongan manusia kecenderungan atau minatnya kepada ilmu lebih besar dan juga kemampuannya untuk mencapai ilmu tersebut ada; dan segolongan lainnya kemampuannya untuk mencapai ilmu terbatas dan kesanggupannya untuk beribadat, beramal dan berzikir adalah besar. Maka jalan yang sesuai bagi golongan pertama adalah ilmu, tetapi mesti juga dibarengi dengan zikir dan jalan yang sesuai bagi golongan kedua adalah memperbanyakkan zikir, tetapi mesti juga disertai dengan ilmu.

Pokok masalahnya dalam berjalan menuju Allah adalah mencapai kepada ‘al-qalb al-salim” (hati yang selamat atau sejahtera), kerana dengan kebaikan hati dicapai kebaikan jiwa dan jasad, sebagaimana disabdakan oleh Rasulullah SAW:

ان فى الجسد مضغة اذا صلحت صلح الجسد كله واذا فسدت فسد ال جسد كله, ألا وهي القلب

“Sesungguhnya di dalam jasad terdapat segumpal benda, jika ia baik maka baiklah seluruh jasad, dan jika ia rosak maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa ia adalah hati” (Hadith riwayat Bukhari).

Yang kebaikan roh adalah kebaikan hati yang dengannya menjadi baik jiwa dan jasad, kerana dalam keadaan seperti itulah roh berada pada tempatnya yang sihat.

Kebaikan hati inilah yang sebenarnya yang menjadi titik tolak bagi kehidupan yang sempurna mengikut pandangan Islam, kerana dengan kebaikan hati ini kesediaan manusia untuk menerima daripada Allah menjadi sempurna, dan juga kemampuannya untuk melepaskan diri daripada fitnah menjadi penuh. Maka inti perjalanan menuju Allah adalah perjalanan dengan hati menuju kebaikan dan usaha mempertahankan kebaikan tersebut yang berterusan yang disertai dengan pelaksanaan kewajiban ibadat yang ikhlas kepada Allah sampai tibanya kematian .

Daripada huraian di atas, jelaslah bahawa ilmu tasawwuf adalah ilmu yang sangat penting, yang melengkapkan ilmu tauhid dan ilmu fiqh. Oleh sebabitu, ia sangat diperlukan untuk mencapai kesempurnaan aqidah dan syari’at.

Ia melengkapkan ilmu tauhid kerana ia membicarakan secara amali bagaimana cara menghayati nilai-nilai keimanan, cara membebaskan diri daripada nifaq (hypocrisy) dan lain-lain sifat yang mencacatkan nilai keimanan, cara bagaimana membuat seorang hamba merasakan bahawa Allah SWT senantiasa melihat dan mengawasinya, senantiasa mendengarnya dan pengertian-pengertian seumpamanya, yang biasanya tidak dibahas di dalam kitab-kitab tauhid, meskipun ia berkaitan dengan masalah aqidah. Ia melengkapkan ilmu fiqh kerana ia membicarakan pengertian-pengertian batin yang semestinya mengikuti amalan-amalan syari’at, seperti khusyu’, ikhlas dan sifat-sifat lain yang seumpamanya, dan jalan serta faktor-faktor yang membawa kepadanya atau cara mencapainya, disamping ia juga meningkatkan kesediaan manusia untuk berpegang teguh mematuhi hukum-hukum syari’at, yang biasa tidak dibahaskan di dalam kitab-kitab fiqh.

Mengikut pandangan Imam Ghazali, ilmu ini termasuk jalan ke Akhirat yang wajib dipelajari oleh setiap muslim dan muslimat untuk mencapai keselamatan di Akhirat nanti.

Tetapi sayangnya, ilmu ini telah dicemari oleh berbagai macam pencemaran, seperti penyusupan pandangan-pandangan ilhadiyah (yang menyimpang daripada agama) yang bertentangan dengan apa yang yang telah dipersetujui oleh Ahl al-Sunnah Wa al-Jama’ah ke dalam kitab-kitab yang ditulis oleh tokoh-tokoh sufi yang terkenal, sehingga ia dianggap sebagai sebahagian daripada ajaran dan amalan tasawwuf, seperti pandangan wahdat al-wujud, ittihad, hulul, syathat falsafiyah yang menyesatkan, seperti dakwaan al-Haqiqat al-Muhammadiyah yang dianggap sebagai qubbat al-wujud, asal dan ‘sir’nya, pensinoniman kalimat al-jadzb(u) dengan al-tahallul min al-syari’ati qawlan wa ‘amalan (kebebasan daripada syari’at, baik dari segi ucapan atau pun perbuatan), penyusupan pandangan-pandangan batiniyah yang bertujuan menyelewengkan kandungan al-Quran dan al-Sunnah dan menghilangkan kepercayaan manusia kepada nas-nas keduanya dengan jalan mendakwakan bahawa setiap nas yang ada di dalam al-Quran dan al-Sunnah mempunyai makna zahir yang difahami daripada lafaznya dan makna batin yang jauh daripada zahirnya, tetapi dialah sebenarnya yang dimaksudkan dan yang mesti diamalkan, penyusupan amalan-amalan yang bertentangan dengan syari’at, seperti apa yang dinamakan istighothoh atau wasatah, tawassul di luar cara yang disyari’atkan, perbuatan memuji syaikh-syaikh tarekat yang keterlaluan dan lain-lain lagi yang mencemarkan atau memburukkan nama baik tasawwuf atau tarekat.

Kesemua itu telah digunakan oleh musuh-musuh Islam umtuk memburuk-burukkan ilmu tasawwuf atau tarekat. Di antara akibatnya kita melihat timbulnya golongan yang menolak ilmu tasawwuf dan mendakwakan bahawa ia bukan daripada ilmu Islam dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Imam Ghazali yang hidup pada abad ke lima Hijrah, telah berusaha membersihkan ilmu tasawwuf daripada pandangan-padangan falsafah yang menyesatkan, yang telah disusupkan oleh musuh-musuh Islam daripada aliran-aliran kebatinan dan juga daripada kepalsuan-kepalsuan yang disusupkan oleh orang-orang jahil dan kelompok orang-orang yang tidak berakhlaq atau bermoral,dengan menulis kitab-kitab Fada’ih al-Batiniyah, Al-munqidz Min al-Dalal, kitab Ihya’ ‘Ulum al-Din dan lain-lainnya.

Begitu juga Imam Sya’rani, yang hidup pada abad ke sepuluh Hijrah, telah melakukan usaha yang sama, iaitu membersihkan tasawwuf daripada pandangan-pandangan yang menyeleweng, yang menyesatkan atau mengelirukan. Dalam usahanya tersebut, beliau telah terpaksa berhadapan dengan golongan-golongan sufi yang menyeleweng dan memerangi mereka, baik dengan lisan atau tulisan.

Imam Sya’rani sendiri telah menceritakan tentang kejahilan atau kebodohan syeikh-syeikh tarekat al-Ahamadiyah dan al-Burhamiyah yang tidak mengetahui sama sekali tentang qawa’id al-imam, fardu-fardu wudu dan syarat-syarat solat. Bahkan ketika salah seorang syaikh mereka yang besar datang menziarahi beliau dan beliau bertanya kepadanya tentang masalah agama, syaikh tadi dengan bangganya menyatakan bahawa beliau tidak pernah membaca sesuatu tentangan ilmu, kerana beliau menghinakan ilmu. Beliau tidak mengetahui sedikit pun daripada syarat-syarat solat dan wudu, kerana beliau mengatasi ibadat-ibadat tersebut .

Al-Manawi, di dalam kitabnya Al-Tabaqat al-Kubra, menceritakan bahawa kepimpinan tasawwuf, selepas al-fath al-‘Uthmani, telah jatuh ke tangan dua orang yang mewakili dua kelompok atau aliran, iaitu al-Imam al-Sya’rani, yang mewakili kelompok atau aliran al-tasawwuf al-‘ilmi al- Rabbani, dan Muhammad Karim al-Khalluti, yang mewakili kelompok orang jahil yang mendakwa diri mereka sebagai kaum sufi.

Al-Manawi menceritakan bahawa ketika Imam Sya’rani bertanya kepada Al-Khalluti tentang sesuatu masalah yang berkaitan dengan wudu, Al-Khalluti, yang sudah terkenal kepimpinan dan kemasyhurannya di kalangan orang dan para amir (penguasa), menyatakan kejahilannya. Ketika Imam Sya’rani bertanyakan kepadanya: “Sesungguhnya anda tidak boleh menjadi seorang sufi tanpa ilmu”, Al-Khalluti menjawab: “Kalau begitu, ajarkan saya”.

Ketika Imam Sya’rani datang kepada Al-Khalluti untuk mengajarnya, beliau diterima dengan penghinaan, iaitu dengan menutup pintu di muka beliau dan berkata di hadapan murid-muridnya dengan penuh ejekan: “Sesungguhnya Syaikh Sya’rani ingin menjadikan saya sebagai seorang yang faqih, sedang saya adalah seorang sufi”. Kemudian Al-Khalluti dan mengulang-ulangi kata-kata “Sya’rani ingin menjadikan kita semua sebagai fuqaha seperti dirinya sendiri”.
Dalam usahanya juga, Imam Sya’rani telah menyerang syaikh-syaikh tarekat yang meninggalkan pekerjaan dan hidup dengan bergantung kepada pemberian orang ramai, kerana menganggap diri mereka berhak menerima bantuan atau menganggap sudah menjadi kewajiban orang ramai untuk memberi makan dan mengurus kehidupan mereka serta kehidupan keluarga mereka juga.

Beliau telah menjelaskan bahawa ketika sebahagian daripada sahabat kembali dari suatu perjalanan dan menceritakan kepada Rasulullah SAW tentang seorang yang menghabiskan sepenuh masanya untuk beribadat, solat dan puasa kerana taqwanya. Rasulullah SAW bertanya: ‘Siapa yang menguruskan kehidupannya?”. Mereka menjawab: “Saudaranya”. Rasululah SAW bersabda: “Saudaranya lebih beribadat daripadanya”.

Imam Sya’rani telah menyeru kepada menghimpun antara beribadat dengan bekerja, kerana kedua-duanya merupakan tiang kehidupan. Orang yang meninggalkan usaha yang berupa kerja yang halal dan meminta rezeki daripada para dermawan, seperti kebiasan orang-orang mutasawwif pada masa beliau adalah orang yang jahil tentang kedudukan tawakkal yang sebenarnya.

Imam Sya’rani telah menyatakan dalam fatwanya bahawa tarekat-tarekat Al-Ahmadiyah, Al-Rafa’iyah, Al-Adhamiyah, Al-Musallamiyah dan Al-Dasuqiyah yang ada pada masa beliau adalah telah terkeluar daripada syari’at Allah, kerana perbuatan-perbuatan mereka menyalahi jalan yang telah digariskan oleh para syaikh mereka yang terdahulu.

Beliau telah mendedahkan kejahilan, kekufuran dan kerosakan akhlak syaikh-syaikh tarekat tersebut, yang menjadikan diri mereka lebih sesat daripada binatang.

Dalam rangka membersihkan tasawwuf ini, Imam Sya’rani telah menulis banyak kitab, antaranya: Tanbih al-Mughtarrin, Al-Mizan al-Kubra, Al-‘Uhud al-Muhammadiyah, Al-Anwar al-Qudsiyah, Qawa’id al-Sufiyah dan lain-lain .

Di Malaysia, Indonesia dan negara-negara Asia Tenggara lainnya, meskipun terdapat golongan yang menolak tasawwuf akibat pencemaran-pencemaran tersebut, tetapi kebanyakan ummat Islam masih menerimanya, dan bahkan tidak sedikit daripada mereka yang terlalu berghairah atau bersemangat kepadanya dan berusaha untuk melibatkan diri dengan memasuki tarekat-tarekat tasawwuf yang ada.

Kepada semua kaum muslimin dan muslimat, sama ada yang menolak atau menerima tasawwuf, saya tujukan tulisan saya yang ringkas dan jauh daripada kesempurnaan ini dengan harapan agar mereka yang menolak tasawwuf supaya mempertimbangkan kembali penolakannya, dan mereka yang menerimanya supaya berhati-hati dalam penerimaannya.

Pelajarilah ilmu-ilmu tasawwuf melalui kitab-kitabnya yang penting, baik yang ditulis oleh Imam Ghazali dan Imam Sya’rani seperti yang telah disebut di atas, atau oleh yang lain-lainnya, seperti kitab Al-Ta’aruf Li Madzhabi Ahl al-Tasawwuf oleh Al-Kalabadzi, Qawa’id al-Tasawwuf oleh Syaikh Zarruq, Tarbiyatuna al-Ruhiyah oleh Said Hawa dan lain-lainnya. Tetapi janganlah memasuki sebarang tarekat sufiyah sebelum memiliki ilmu untuk menilai kesesuaian tarekat tersebut dengan aqidah dan syari’at.

Kita mesti menyedari bahawa kalaulah pada zaman di mana ribuan ulama masih hidup, seperti zaman Imam Ghazali dan zman Imam Sya’rani, penyelewengan tasawwuf begitu hebatnya, dan tarekat yang dinyatakan sesat begitu banyaknya, maka apakah lagi pada masa kini, masa ketandusan ulama, tentunya penyelewengan tersebut lebih hebat lagi dan tarekat yang sesat lebih banyak lagi bilangannya. Kerananya, kita sangat memerlukan sikap berhati-hati agar kita jangan seperti orang yang mencari jarum, tetapi hilang kapaknya.

Di antara sikap Imam Sya’rani yang perlu kita jadikan teladan dalam hal ini ialah bahawa beliau tidak mahu melakukan sesuatu amalan, meskipun telah dianggap baik oleh sebahagian ulama, melainkan jika telah nampak jelas segi kesesuaiannya dengan Al-Quran dan Al-Sunnah .

Dalam usahanya mencari tarekat yang sesuai ini, saya sering mendengar perkara yang karut yang tidak dapat diterima, baik oleh penimbangan akal ataupun oleh penimbangan syari’at, yang dinyatakan oleh sebahagian pengikut-pengikut tarekat, diantaranya ialah:

Ada di antara pengikut tarekat yang menyatakan bahawa jika seseorang mengikuti tarekat, maka ia mesti menyingkirkan akalnya. Ia mesti menerima apa saja yang diajarkan oleh mursyid atau gurunya tanpa berfikir atau memikirkan betul-salahnya. Mereka menyatakan bahawa akal merupakan halangan bagi mencapai hakikat.
Ada yang mendakwakan bahawa syahadat kebanyakan ustaz-ustaz atau orang-orang yang tidak memasuki tarekat adalah tidak sah, kerana tidak ada guru atau tidak ada silsilahnya.
Ada tarekat yang menyatakan bahawa, berdasarkan apa yang telah disampaikan oleh Rasululllah kepada syaikhnya, sama ada dalam mimpi atau dalam jaga, sesiapa yang membaca:
لااله الا الله محمد رسول الله فى كل لمحة ونفس عددما وسعه علم الله

sekali atau tiga kali, maka pahlanya lebih banyak daripada orang yang membaca:

لااله الا الله محمد رسول الله
dari sejak Adam a.s sehingga Hari Kiamat.

Dakwaan yang demikian, jika diterima, bererti pengakuan terhadap apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW kepada syaikh-syaikh tarekat, sama ada dalam mimpi atau jaga, sebagai sebahagian daripada Al-Sunnah, yang merupakan sumber kedua sesudah Al-Qur^an. Sedang para ulama telah menyatakan bahawa selepas wafatnya Rasulullah SAW tidak ada wahyu lagi; dan bahawa al-Sunnah, yang dianggap sebagai sumber hukum kedua, adalah apa yang dilahirkan daripada rasulullah SAW, baik berupa ucapan, perbuatan atau taqrir (pengakuan atau pengesahan), semasa hidup beliau SAW.

Dakwaan tesebut, jika diterima, sangat berbahaya, kerana ia memberi jalan kepada setiap orang untuk menetapkan hukum melalui hukuman yang seumpamanya, disamping ia juga mengandungi tuduhan bahawa Rasulullah SAW belum menyampaikan semua wahyu Allah SWT semasa hidupnya.

Ada tarekat, yang kerana berpegang kepada fahaman Jabariyah, mengajarkan kepada para pengikutnya melakukan solat tanpa niat melakukannya, iaitu yang disebut qasad, kerana mendakwakan bahawa yang demikian adalah syirik disebabkan menisbahkan perbuatan kepada diri kita, sedang semua perbuatan adalah Allah yang melakukannya. Mengikut hukum syari’at, berdasarkan hadith-hadith Rasulullah SAW, sebagaimana yang dinyatakan dalam kitab-kitab fiqh, solat tanpa niat adalah tidak sah.
Ada tarekat yang mengajarkan kepada pengikut-pengikutnya, jika ditimpa musibah atau kesusahan di tempat yang sunyi, jauh dari manusia, dan memerlukan pertolongan, supaya jangan meminta pertolongan langsung kepada Allah SWT, kerana diri kita ini kotor, tetapi mintalah pertolongan dengan menyeru “Ya syeikh Abdul Qadir”, “Ya syeikh Samman” dan lain-lainnya.
Ada tarekat yang mendakwakan bahawa syeikhnya yang sudah mati, sebenarnya belum mati, tetapi hanya menghilangkan diri dan akan kembali lagi nanti sebagai Imam Mahdi.
Ada pengikut tarekat yang mendakwakan bahawa ketika Rasulullah hendak menaiki buraq, dalam peristiwa Isra^Mi’raj, kerana buraq terlalu tinggi, maka untuk naik ke atasnya beliau terpaksa memijak bahu syaikh Abdul Qadir Jailani. Ketika ditanya sumber berita tersebut, maka dijawab daripada khasaf ulama tarekat.
Ada tarekat yang mengajarkan kepada pengikut-pengikutnya beribadat hanya dengan niat saja, tanpa perbuatannya, kerana, mengikut dakwaan mereka, Rasulullah SAW bersabda bahawa sesungguhnya perbuatan itu hanya cukup dengan niat.
Tidak sedikit diantara mereka, yang jika dinyatakan tentang pertentangan antara sebahagian amalan mereka dengan syari’at, mereka menjawab bahawa pertentangan itu hanya mengikut pandangan ulama syari’at yang hanya memahami kulitnya saja bukan isi atau patinya.

Dengan jawapan yang seumpama itu, biasanya mereka lari daripada menceritakan kesesuaian amalan-amalan mereka dengan syari’at.

Saya sering bertanya: jika saya memasuki tarekat ini, kemudian saya dapati ada sebahagian atau salah satu amalannya yang bertentangan dengan syari’at, bolehkah saya menyingkirkan yang bertentangan tersebut dan hanya mengamalkan yang tidak bertentangan? Sebahagian mereka tidak mahu memberi jawapan yang pasti, dan sebahagian lainnya menyatakan tidak boleh berbuat demikian.Mereka mengatakan bahawa kalau hendak mengamalkan tarekat, maka hendaklah mengamalkan semuanya, jika tidak tidak semua.

Maka saya mengatakan kepada mereka: kalau begitu terpaksa saya menolak semua, sebab saya teringat kata-kata seorang sufi yang terkenal bahawa syaitan, untuk mesokkan kita ke dalam suatu kesalahan yang fatal, kadang-kala mengumpan kita dengan sembilan puluh sembilan kebenaran.

Keberhati-hatian dalam asas keselamatan. Allah SWT telah memberikan kepada kita akal, disamping menurunkan syari’atNya untuk kita jadikan pedoman. Maka hendaklah kita menjadikan kedua-duanya sebagai perisai.

Penyakit yang paling berbahaya menimpa diri seorang yang mengikuti sesuatu jalan atau fahaman adalah penyakit ta’assub atau fanatik terhadap pandangan atau fahaman yang sesat tersebut. Kerana, dengan dihinggapi penyakit tersebut, maka menjadi sangat sukar untuk membetulkan atau menyedarkan akan kesalahan atau kesesatannya. Dengan sebab kefanatikan tersebut, banyak daripada mereka menutup telinga atau langsung tidak mahu mendengar sebarang teguran.

Sememangnya, kita perhatikan bahawa kabanyakan ajaran sesat berusaha mengikat pengikutnya supaya jangan lari dengan cara menanamkan ke dalam diri mereka perasaan ta’assub atau fanatik tersebut.

Wallahu A’lam Bi al-Sawab.

Musa bin Fathullah Harun
Lot 3193, Jalan Bukit,
Paya Jaras Hulu, Sungai Buloh,
Selangor Darul Ehsan,
22hb.Ogos 2000


Oleh:
Dr. Musa bin Fathullah Harun
Bekas Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan