Semaklah Darjat Hadis di Sini



بحث عن:

Sabtu, 14 November 2009

Tsa'labah yang Dizalimi

Saya tidak ingin memburukkan sesiapa. Namun, saya ingin membersihkan nama seorang sahabat Rasulullah SAW yang diperburuk-burukkan oleh kebanyakan manusia antaranya para pendakwah sendiri khususnya apabila membicarakan berkenaan zakat.

Tsa’labah bin Hathib al-Anshari, seperti mana disebarluaskan dalam masyarakat umum, pada awalnya seorang yang amat miskin sehingga terpaksa bergilir pakaian dengan isteri untuk bersolat. Ketika itu, beliau sering melazimi masjid sehingga dikenali sebagai ‘merpati masjid.’ Pada satu ketika, beliau meminta Nabi Muhammad SAW berdoa agar baginda mendoakannya agar menjadi kaya. Kemudian, dia menjadi kaya dan sibuk menguruskan perniagaan atau hartanya sehingga meninggalkan solat berjemaah di masjid dan makin lama makin kurang ketaatannya kepada Allah tidak seperti semasa miskinnya. Beliau juga tidak membayat zakat. Allah pun menurunkan ayat 75 sehingga ayat ke-77 berkenaannya. Setahunya Tsa’labah tentang ayat itu, beliau pergi kepada Nabi SAW bertaubat dan menghulurkan zakatnya namun ditolak oleh Nabi. Begitulah pula pada zaman Abu Bakr dan ‘Umar RA, zakatnya tidak diterima lagi. Kata mereka, Allah tidak menerima taubatnya. Beliau mati pada zaman ‘Utsman.

Kisah ini memang tersebar dalam kitab-kitab tafsir seperti Tafsir Ibnu Katsir, al-Nasafi, al-Jalalain, al-Thabari, al-Qurthubi, al-Bahr al-Muhith, al-Manar, Taqrib al-Quran, al-Kasysyaf, al-Alusi, dan lain-lain dan dijadikan antara salah satu sebab turunnya ayat ke-75 hingga ayat ke-77 dalam Surah al-Taubah.

Namun, majoriti mufassirin sendiri meragui kesahihan kisah ini seperti kata Imam al-Qurthubi “dan Tsa’labah adalah seorang ahli perang Badar dan dari kaum Anshar dan antara yang mengakui Allah dan rasul-Nya (SAW) dengan keimanan. Maka, adapun yang diriwayatkan tentangnya tidak sahih. Abu ‘Umar ibn ‘Abd al-Barr berkata: dan mudah-mudahan apa yang dikatakan oleh orang yang berkata tentang Tsa’labah, “sesungguhnya dialah yang tidak ingin membayar zakat yang ayat al-Quran diturunkan berkenaannya” adalah tidak sahih.

Kisah Tsa’labah tadi diriwayatkan melalui sanad yang berpangkal daripada Ma’an bin Rifa’ah daripada ‘Ali bin Yazid daripada al-Qasim bin ‘Abd al-Rahman daripada Abu Umamah al-Bahili.

Ali bin Yazid Abu ‘Abd al-Malik al-Alhani al-Dimasyqi menurut Imam al-Bukhari dalam ‘al-Dhu’afa’ al-Shaghir’, seorang ‘munkar hadits.’ Al-Nasaie pula berkata dalam ‘al-Dhu’afa wa al-Matrukin’: ‘Ali bin Yazid meriwayatkan daripada al-Qasim: ‘matruk al-hadits.’ Bahkan ulama-ulama al-jarh wa al-ta’dil lain seperti Ibnu Abi Hatim, al-Azdi, al-Daruquthni, Yahya bin Mu’in, Ya’qub, dan Abu Nua’im al-Ashfahani bersepakat bahawa ‘Ali bin Yazid dengan sanad tadi adalah ‘dha’if.’

Al-Saji berkata: ahli ilmu bersepakat di atas kedha’ifannya.

Ma’an bin Rifa’ah (atau Rafa’ah) al-Dimasyqi pun dikritik ulama antaranya Ibnu Hibban mengatakan bahawa Ma’an ‘munkar al-hadits.’

Kisah ini juga diriwayatkan dengan dua sanad lain iaitu salah satunya berpunca daripada ‘Athiyyah bin Sa’ad bin Janadah (atau Junadah) al-‘Aufa daripada Ibnu ‘Abbas. Al-‘Aufa seorang yang lemah ingatan dan tersohor dengan tadlis yang buruk menurut Ibnu Hajar dalam ‘Thabaqat al-Mudallisin.’

Sanad yang kedua berpunca pula dari ‘Amr bin ‘Abid (atau ‘Ubaid) daripada Hasan al-Bashri secara mursal. ‘Amr seorang yang ‘matruk al-hadits’ menurut al-Nasaie, ‘penipu’ menurut Ayyub dan Yunus, dan ‘menipu atas nama Hasan’ kata Humaid.
Demikianlah kedha’ifan kisah ini jika diukur dari sudut sanad. Dari sudut dirayahnya, kisah ini ditolak kerana bertentangan dengan sifat pengampun Allah kerana Tsa’labah sebagaimana dalam kisah yang didakwa itu benar-benar bertaubat. Satu lagi, mengapa zakat Tsa’labah tidak diterima. Kalaupun Tsa’labah seorang yang munafik sekalipun, zakatnya mesti diterima kerana hukum berdasarkan zahirnya. Tsa’bah pula ahli perang Badar yang dijamin syurga. Dalam musnad Imam Ahmad diriwayatkan hadis: tidak akan masuk syurga lelaki yang menyaksikan (atau menyertai) Perang Badar dan al-Hudaibiyah.

Ada orang kata: kisah ini diceritakan untuk dijadikan pengajaran kepada orang lain dan termasuk dalam fadha’il al-a’mal.

Maka jawabnya, cerita ini terkandung dalamnya fitnah ke atas seorang sahabat yang mulia, tidak patut cerita yang di dalamnya fitnah dijadikan bahan untuk memberi nasihat lebih-lebih lagi kelemahannya dari sudut sanad dan matannya. Bukankah ada banyak lagi hadis-hadis sahih sebagai sumber teladan kita?

[Artikel ini ditulis berdasarkan ceramah daripada pegawai badan pemungut zakat dan buku ‘Difa’ ‘an al-Sunnah al-Muthahhrah’ oleh ‘Ali bin Ibrahim Hisyisy atau Hasyisy]
*Oleh sebab sumber rujukan bahasa Arab tidak berbaris, beberapa nama yang diragui sebutannya disertakan dengan cara baca yang lain.

Oleh: al-Kutawi, sedang melanjutkan pengajian di Universiti Mu'tah, Jordan dalam bidang Fiqh wa Usuluh dan insya-Allah akan bertukar ke bidang Usuluddin nantisemester kedua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan