Semaklah Darjat Hadis di Sini



بحث عن:

Isnin, 16 November 2009

Kenapa Pula?!

Pada suatu hari, Ustaz Ahmad kebetulan sedang berada di sebuah kamupung terdengar azan zuhur. Ustaz pun bergegas ke masjid. Beliau bersolat di sebelah muazzin. Sesudah solat dan berzikir, bermulalah dialog di bawah:

Muazzin: Assalamualaikum.
Ustaz: Waalaikumussalam.
Muazzin: Maaf, saya nak tanya sikit. Saya perhati tadi, awak tak sebut ‘sayyidina’ semasa sebut nama Nabi (SAW) dalam selawat masa tasyahhud. Betul ke?
Ustaz: Ya, kenapa?
Muazzin: Bagi saya orang yang tak sebut ‘sayyidina’ tu kurang ajar.
Ustaz: Kurang ajar?
Muazzin: Ya, ada ke sebut nama Nabi (SAW) boleh tak sebut ‘sayyidina!’ Kenapa berat sangat lidah kamu nak sebut ‘sayyidina?’
Ustaz: Pak cik, saya tak sebut ‘sayyidina’ tu dalam tasyahhud saja Dalam selawat lain, saya sebut je. Sebabnya, saya baca dalam hadis, Nabi (SAW) tak ada sebut ‘sayyidina’ dalam selawat tasyahhud. Saya ikut hadis tu je.
Muazzin: Ikut hadis konon. Takkan Nabi (SAW) nak sebut kat diri dia sendiri? Malulah dia.
Ustaz: (Termenung seketika). Kalau begitu, pak cik pun kurang ajar juga.
Muazzin: Kenapa pula?
Ustaz: Sebab pak cik masa bang tadi pun mana ada sebut ‘asyhadu anna sayyidina Muhammadar Rasulullah?’
Muazzin: Aik?! Masa bang mana boleh tambah-tambah?
Ustaz: Eh, kalau masa selawat boleh tambah, masa bang pun boleh tambah juga la.
Muazzin: Mana boleh, masa bang mana boleh tambah. Mana boleh. Mana boleh. (Mengeleng-elengkan kepala).
Ustaz: Takkan tak boleh, nanti jadi kurang ajar pula.
Muazzin: Bang ni bukan boleh main-main, mana ada boleh tambah-tambah. Salah!
Ustaz: Dah, samalah macam selawat dalam tasyahhud tu. Itu pasal saya tak tambah.
…………………….

Sekian.
Cerita ini adalah hasil ubah suai kisah yang diceritakan oleh Dr. Asri Zainul Abidin.
Tujuan cerita ini disiarkan di sini bukanlah untuk membantah sahabat-sahabat yang berpendapat bahawa tambahan ‘sayyidina’ adalah mesti dalam selawat Ibrahimiyyah iaitu selawat yang lazim dibaca pada akhir tasyahhud akhir. Cuma, sekadar sindiran buat mereka yang tidak habis-habis berbalah berkenaan soal-soal yang remeh-temeh sebegini. Sepatutnya, apabila amalan yang kita amalkan sekarang bertembung dengan amalan orang lain, kita kena semak dulu yang mana lebih tepat. Jika tidak mampu nak semak kerana keterbatasan ilmu, masa, dan tenaga, jangan mudah-mudah tuduh-menuduh orang lain dengan tuduhan ‘Wahabi’ dan ‘Kaum Muda’ kerana mereka juga berpegang dengan pendapat-pendapat yang dikeluarkan oleh ulama-ulama besar terdahulu.

Berlapang dadalah kita apabila menghadapi pertembungan pendapat dan amalan serta bersatu padulah dalam berkerjasama apabila bersependapat dalam sesuatu perkara. Bukankah di sana jutaan musuh sedang mengatur strategi dan tipu muslihat untuk menyerang kita bahkan mereka sudah pun menyerang kita tanpa kita sedari. Ketahuilah, antara strategi musuh Islam ialah memecah belahkan perpaduan dan menimbulkan perseteruan antara kita sesama kita.

Sesungguhnya, mereka yang mengaku Ahli Sunnah itu ramai namun mereka yang betul-betul mengamalkan sunnah bersatu berjemaah amat kurang. Hentikan tuduh-menuduh. Hentikan cerca-mencerca. Hentikan fitnah-menfitnah. Bersatulah di bawah panji al-Quran dan sunnah; qiyas dan ijmak!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan