Semaklah Darjat Hadis di Sini



بحث عن:

Jumaat, 11 Disember 2009

Perasmian Bulan Jihad Negeri Selangor 2009


BANDAR SERI PUTRA (4 DISEMBER 2009) : Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Islam diharapkan akan dapat melahirkan ramai mahasiswa Islam yang beriman supaya pembangunan Islam dalam konteks Malaysia mencapai objektif yang diimpikan.
Perkara tersebut diluahkan oleh YB Dato’ Dr. Hassan bin Ali, Ahli Mesyuarat EXCO merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri Selangor Darul Ehsan.
Beliau menyampaikan khutbah di mimbar Masjid Al-Azhar, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) sempena perasmian program Bulan Jihad peringkat negeri Selangor Darul Ehsan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N17 Gombak Setia menegaskan bahawa pemilihan KUIS sebagai tempat perasmian Bulan Jihad negeri Selangor yang dianjurkan bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sudah pastinya mempunyai sebab yang kukuh.
“Pihak JAIS memilih KUIS sebagai tempat untuk perasmian Bulan Jihad sudah pasti ada sebab. Kerana di sinilah akan melahirkan mahasiswa Islam yang akan menyalakan api jihad ilmu dalam kalangan masyarakat setelah mereka bergelar sebagai graduan nanti.”
“Namun untuk melahirkan mahasiswa yang menyalakan api jihad dalam kalangan masyarakat mereka, semua pihak perlu membanting tulang demi mencapai tujuan itu. Rektornya, timbalan rektornya, dekan-dekan, ketua-ketua jabatan, semua pensyarah dan semua warga KUIS perlu menjadikan IPT Islam ini sebagai tempat untuk melahirkan mujahidin-mujahidin demi memajukan Islam dan Malaysia”
Setelah selesai menunaikan solat jumaat yang diimami Ustaz Nasharudin Mat Isa, Ahli Perlimen Bachok, majlis perasmian Bulan Jihad dijalankan di dalam Masjid Al-Azhar. Turut hadir sama pada majlis tersebut ialah Prof. Dato’ Adanan bin Isman, Rektor KUIS, Ustaz Farid Ravi Abdullah, penceramah bebas merangkap nazir Masjid Al-Azhar, Pengarah JAIS, Dato’ Mohammed Khusrin Munawi dan dif-dif kehormat yang lain.
Perasmian Bulan Dakwah diserikan lagi dengan pidato dari adik Amin Al-Hadi, 5, yang menyampaikan pidato yang berkaitan dengan matlamat kehidupan manusia diwujudkan yang mencuit hati para hadirin yang memenuhi Masjid Al-Azhar.
Menurut salah seorang mahasiswa KUIS, Saifulnizam bin Muhamad, beliau mengharapkan agar program Bulan Jihad ini dijalankan dengan lancar dan menjadi program tahunan di Selangor serta menjadi contoh kepada negeri lain di Malaysia.
“Diharapkan juga agar melalui program ini golongan bukan Islam di Selangor khususnya dapat mengenali konsep jihad yang ditekankan dalam supaya tidak timbul kefahaman ‘Islamophobia’ dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan